Friday, 28 April 2017

Tony Pua Tidak Dibenarkan Masuk Ke Sabah



Memetik laporan The Borneo Post, Tony Pua disekat oleh pihak berkuasa daripada memasuki Sabah hari ini. Dia yang juga pengerusi DAP Selangor diiringi menaiki sebuah pesawat untuk pulang ke Kuala Lumpur pada jam 2 petang tadi.

Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Phoong Jin Zhe memberitahu akhbar berkenaan bahawa Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu mendakwa hanya mengetahui mengenai status itu setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 12.45 tengah hari tadi.
Beliau dikatakan tiba di negeri bawah bayu itu, ditemani Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong yang dilaporkan berkata Pua tidak pernah disekat memasuki Sabah sebelum ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dalam Facebooknya berkata beliau pernah bersama Pua ke Sabah pada Mac lalu untuk beberapa program parti itu di sana

“Siapa boleh bayangkan dia dihalang memasuki Sabah hari ini?,” tulis beliau, Jumaat.

Bagaimanapun pihak berkuasa di negeri itu belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung sekatan itu.