Monday, 24 April 2017

Sukarelawan Malaysia Membawa Ambulan Berkonvoi Menyertai Siri Bantuan Ke Syria


 Malaysia antara negara yang prihatin turut menyumbang dana dan tenaga dalam siri bantuan kemanusiaan ke Syria. Jejak bantuan bermula dari London, ambulan dipandu sukarelawan dari Malaysia dalam Konvoi Perpaduan Ambulans ke Syria yang akan merentasi negara Eropah diletakkan dalam kumpulan Bravo konvoi kemanusiaan itu. 

Kumpulan Bravo merangkumi tujuh ambulans ditaja badan bukan kerajaan (NGO) hasil sumbangan rakyat Malaysia. Ketujuh-tujuh ambulans membabitkan penajaan kos keseluruhan RM700,000. NGO yang menaja ambulans itu ialah Malaysian Life Line for Syria (MLLFS), Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Tangisan Syria Di Bumi Jordan (TSDBJ). Konvoi anjuran Human Aid UK itu turut disertai wakil Global Peace Malaysia (GPM) dan Humanity Heroes. 

Sebelum ini, sukarelawan Malaysia, termasuk wartawan BH, dibawa ke lokasi tujuh ambulans itu di London sebelum konvoi berlepas dari UK. Ambulans terbabit dipandu sendiri 2O sukarelawan dari Malaysia merentasi negara Eropah sehingga ke lokasi ditetapkan dan akan dibawa masuk ke Syria oleh NGO tempatan. Mereka akan menyertai 200 sukarelawan keseluruhan dari UK, Turki, Perancis, Indonesia dan Malaysia. 

Ketika ini, semua sukarelawan bersemangat tinggi untuk menjayakan misi konvoi itu yang dipantau pihak berkuasa UK. Presiden TSDBJ, Musa Nuwayri menyifatkan ambulans itu "amanah" rakyat Malaysia untuk membantu warga Syria. Konvoi kemanusiaan itu dijangka melalui Dover untuk ke Perancis, sebelum meneruskan perjalanannya. Bersama kita doakan semoga misi bantuan ini sampai ke destinasi dengan selamat.