Thursday, 20 April 2017
Serangan Mahathir Sudah Tidak Relevan Dan Ternyata Sia-Sia
By Aku Torres at 00:27:00
Kenapa serangan Tun M keatas Najib kali ini nampak kurang berjaya? Tidak seperti zaman Pak Lah?
Pertama sekali kita kena kaji siapa belakang Tun M kali ini. Dalam satu perjumpaan tertutup bersama jentera siber BN selepas PRU 13 lalu, Najib mendedahkan bahawa "taikun-taikun" cina sudah malu alah kepada beliau kerana gagal mengembalikan sokongan orang cina kepada BN seperti yang dijanjikan. Lebih parah Najib juga mendapat tahu yang mereka turut membiayai kempen DAP.
Tidak lama selepas itu, 1MDB telah mengambil alih hampir keseluruhan IPP milik YTL, Vincent Tan dan Ananda Krishnan melalui pihak ketiga dengan alasan mahu menghentikan tekanan kenaikan tarif elektrik setiap tahun. Maka ketika itulah bermulanya serangan terhadap 1MDB.
Tiga taikun di atas adalah antara yang paling besar yang diketahui sebagai penyumbang besar kepada BN dari bentuk kewangan dan sokongan orang Cina ketika era Tun M dahulu. Konsepnya, jika BN menang mereka akan terus dibayar "tanpa sebab" melalui kontrak Kerajaan bagi mengekalkan kekayaan dan meluaskan empayar mereka. Hubungan simbiosis.
Namun begitu, hubungan simbiosis ini memberikan impak yang besar buat bajet negara. Najib sedar akan perkara ini dan melihat pengkhianatan mereka pada PRU 13 sebagai peluang untuk menghentikan kos overhead yang ditanggung rakyat ini. 1MDB dijadikan instrumen bagi melaksanakan pelan ini dengan jayanya melalui bantuan pinjaman dana dari negara Arab.
Dan apabila punca utama kekayaan mudah mereka terputus, ketika itulah mereka gunakan semula Tun M yang sudah banyak makan jasa kerana mengekalkannya berkuasa selama 22 tahun.
Jika benar Tun M mahukan Najib diganti secara sah, beliau sudah tentu akan menyusun sokongan dari dalaman UMNO sendiri dan mendesak pemilihan khas diadakan. Tetapi kenapa ia tidak berlaku? Ini adalah kerana beliau tidak mahu orang UMNO tahu siapa belakang beliau.
Itu yang menyebabkan kumpulan pro Tun M kali ini agak kecil, eksklusif, dan disokong oleh keluarganya dan pemimpin yang setia kepada beliau dahulu sahaja. Dan mereka menggunakan kesempatan serangan bertali arus pembangkang ke atas PM sebagai kaedah untuk menguatkan lagi momentum serangan mereka.
Sebab itulah, apabila ditanya, siapa pengganti Najib selepas beliau berjaya diturunkan, tidak seorang pun mampu menjawabnya. Malah persoalan paling besar, parti mana pula yang akan berkuasa selepas Najib diturunkan juga mendapat jawapan yang pelbagai.
Jadi sebagai rakyat biasa kita hendaklah sedar akan permainan licik ahli politik ini dan tidak membiarkan diri menjadi alat percuma mereka untuk mendapatkan kuasa. Kaji dengan teliti motif dan penaja di belakang mereka terutamanya apabila mereka mula menggunakan nama rakyat bagi satu-satu tujuan.