Adakah Pembangkang Sedar Akta 355 Sudah 2 Kali Dipinda Tanpa Gangguan?
1. RUU355 yang hangat dibincangkan akhir-akhir ini adalah Akta Mahkamah Syariah 1965. Akta ini memperuntukkan bidang kuasa tertentu kepada Mahkamah Syariah. Dalam peruntukan Akta355 ini pemakaiannya hanyalah dikenakan kepada orang Islam sahaja.
2. Akta355 ini sebenarnya hampir masuk kali ketiga pindaannya bermula dari tahun 1984, 1989 dan 2016. Cuma pindaan kali ini hanyalah berkenaan untuk mempertingkatkan lagi jumlah denda dan tempoh penjara yang dikenakan, malah pindaan pertama yang dilakukan pada 1984 juga memperuntukkan perkara yang sama seperti yang sedang dilakukan oleh Ahli Parlimen Marang kini. Manakala pindaan pada tahun 1989 pula adalah untuk memastikan pemakaian Akta355 juga digunakan kepada Sabah dan Sarawak.
3. Kuasa Mahkamah Syariah adalah terletak pada kerajaan negeri. Hal ini menjadikan Akta355 juga akan dipinda mengikut aturan Mahkamah Syariah di Dewan Undangan Negeri masing-masing. Ini kerana pemakaian Enakmen dalam penguatkuasaan hukum Syariah di setiap negeri adalah berbeza kandungannya.
4. Akta Mahkamah Syariah ini hanyalah untuk orang Islam sahaja. Agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan, kewujudan Akta ini telah meletakkan Agama Islam sebagai agama tertinggi darjatnya di negara ini. Namun penganut agama lain masih bebas mengekalkan agama yang dianuti.
5. Semasa pembentangan Akta355 ini di Dewan Rakyat semalam masih ada yang tidak faham atau berlagak tidak faham akan pindaan berhubung Akta355. Lebih parah bila ada Ahli Parlimen yang beragama Islam juga bertindak sama.