Thursday, 9 March 2017
Kenapa Kita Perlu Bersatu Pertahankan Negara Dari Ancaman Korea Utara...
By @MNA at 14:03:00
Tindakan Korea Utara tidak membenarkan 11 warga Malaysia keluar dari republik itu adalah satu perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Sudah tiba di lapangan terbang untuk pulang, kemudian mereka dihalang oleh rejim Kim Jong Un untuk berlepas pulang. Anak anak kecil ahli keluarga juga antara yang turut ditahan.
Timbal balik daripadanya, Malaysia telah mengarahkan agar mana-mana rakyat Korea Utara di negara ini, juga tidak dibenarkan meninggalkan Malaysia.
Sejurus itu, suasana panik dan persepsi mula menular di media sosial kununnya akan berlaku siri peperangan antara kedua-dua buah negara. Pelbagai teori mula keluar sehinggakan ada yang sanggup memperkecilkan negara sendiri.
Yang dahulunya jadi pakar banjir, pakar mengulas bola, pakar MH370 dan MH17, kini sudah menjadi pakar peperangan pula.
Namun, timbul persoalan kenapa kita perlu bersatu untuk mempertahankan negara sendiri? Selain daripada ia sebuah suruhan agama yang dibuktikan melalui pandangan Syeikh Muhammad Abu Zuhrah bahawa :
"Mempertahankan negara adalah wajib ke atas setiap muslim"
Kewajipan untuk kita bersatu pertahankan negara juga disebabkan oleh kekejaman pemimpin Korea Utara itu sendiri. Bayangkanlah pemimpinnya sanggup menembak mati Timbalan Perdana Menteri sendiri atas alasan antiparti dan antirevolusi.
Malah, dua pegawai yang bersama-sama TPM yang dibunuh itu turut dihantar ke pedalaman untuk proses 'pendidikan semula'.
Kekejaman itu bukan kali pertama. Pada Disember 2013, pemimpin Korea Utara pernah membunuh bapa saudara sendiri bernama Kim Jang Song-Thaek yang merupakan Duta Korea Utara ke Malaysia kerana dipercayai belot.
Telahan lagi, pelbagai lagi kes terpencil yang membuktikan bagaimana Korea Utara dipimpin oleh mereka yang agak kejam.
Sebagai sebuah negara yang berorientasikan konsep Wasatiyyah dan bermuafakatan sejagat, cara Korea Utara ini dilihat tidak bertepatan dengan amalan kita. Maka, di saat kita sedang berhadapan dengan ancaman dari negara republik tersebut, amatlah perlu bagi Malaysia menerima sokongan bersatu padu dari rakyat sendiri untuk mempertahankan kedaulatan tanah tumpah darah ini.
Mac 2013, dalam peristiwa di Lahad Datu seluruh rakyat Malaysia bersatu hati memberi semangat melawan pengganas Sulu.
Mac 2014, Malaysia diuji dengan kehilangan pesawat MH370. Seluruh rakyat bersatu berdoa dan memberi semangat dalam operasi MH370.
Mac 2017, Malaysia diuji lagi. Kali ini dengan karenah Korea Utara yang menahan 11 rakyat Malaysia. Inilah masanya rakyat Malaysia bersatu hati sekali lagi demi negara tercinta ini.
Ayuh bersama sama kita kecam tindakan tidak rasional Korea Utara ini. Ayuh sama sama kita berdoa malam Jumaat ini dengan bacaan Yassin agar 11 rakyat Malaysia ini diselamatkan.
Ayuh sama sama kita berdoa esok dalam solat Jumaat agar 11 rakyat Malaysia ini dibebaskan segera dan sentiasa dalam lindungan Allah SWT.
Tulisan :
Beruang Biru
BB320, Khamis
9 Mac 2017