Wednesday, 29 March 2017

Gagasan Sejahtera, Gabungan PAS Dan IKATAN Terkubur Sebelum PRU14


Tanggal 13 Ogos 2016 lalu PAS telah mula bekerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) sebagai sebuah blok ketiga politik di negara kita.

Dikenali sebagai Gagasan Sejahtera, fungsi mereka adalah untuk "membuka ruang ke arah pembinaan kumpulan persefahaman" yang lebih tersusun.

Walau bagaimanapun, kira-kira 32 minggu selepas itu, Haji Abdul Hadi Awang berkata bahawa partinya akan bergerak sendirian dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presiden PAS itu berkata pada 25 Mac 2017, parti itu tidak mahu menyertai Pakatan Harapan (PH) kerana bercanggah dengan dasar dan konsepnya.

Katanya lagi, PAS juga tidak boleh menyertai Barisan Nasional (BN) kerana masih terdapat halangan dalam melaksanakan dasar dan matlamat parti itu.

Hadi Awang juga berkata jika masuk Pakatan Harapan, ianya umpama menanggung "biawak hidup". Maknanya Hadi Awang tahu bagasi skandal Mahathir amat besar bila PPBM masuk sama dalam PH.

PAS "lone ranger". PAS telah meninggalkan IKATAN bagi menghadapi PRU akan datang.

Antara sebab yang dilihat menjadi punca perpecahan terbaharu blok alternatif pembangkang ini adalah kerana Presiden IKATAN, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dilihat tidak begitu bersungguh-sungguh untuk bertanding dalam merebut kerusi di PRU akan datang.

Telahan lagi, jika ingin dibandingkan secara konsesus, kekuatan jentera yang dimiliki oleh kepimpinan Abdul Hadi adalah jauh lebih kuat berbanding yang dipunyai Abdul Kadir dalam IKATAN.

Sehinggakan, ada cakap-cakap politik mengatakan bahawa IKATAN tiada jentera dan ahli, hanya sekadar presiden seorang sahaja menjadi pengikut dan pejuang parti serpihan itu.

Kadir juga tidak tampil pertahankan Hadi dan PAS bila diserang dan diasak oleh PAN, DAP dan PPBM. Hadi keseorangan.

Menjelang PRU ke 14 yang bakal tiba tidak lama lagi, perpecahan parah telah berlaku dalam kedua-dua blok pembangkang, sama ada pada Pakatan Harapan mahupun yang terbaru pada Gagasan Sejahtera.

Hanya yang tinggal kuat, utuh dan terus istiqomah dalam perjuangan sehingga ke hari ini adalah 14 parti politik yang membentuk satu barisan diberi nama Barisan Nasional (BN).

Rakyat kena buat pilihan yang betul untuk masa depan negara. Parti yang tidak stabil tidak akan menjadikan negara ini lebih baik. Kestabilan ekonomi dan kemakmuran negara hanya boleh diteruskan oleh parti yang stabil dan kukuh.-BeruangBiru