
Pemuda UMNO hari ini mendesak kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dan mengesahkan Bank Negara Malaysia (BNM) muflis pada 1991.
Penubuhan RCI juga bertujuan menyiasat dan mengesahkan sama ada wujud usaha untuk menutup fakta terhadap 'Forex Trading Exposures' sebanyak AS$150 bilion (nilai semasa RM664.13 bilion) dan 'Forex Trading Loss' yang melebihi AS$30 bilion (nilai semasa RM132.83 bilion).
Naib Ketua pergerakan itu, Khairul Azwan Harun, berkata susulan pendedahan bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid, Pemuda UMNO melakukan semakan ke atas beberapa dokumen dan mendapati jumlah kerugian jauh lebih tinggi daripada yang dedahkan.
Beliau berkata, siasatan perlu dilakukan ke atas kedudukan kewangan BNM, sama ada kerugian sebenar bank pusat itu adalah jauh lebih tinggi berbanding kerugian yang diumumkan dalam akaun sepanjang tahun 1991.
"Berdasarkan maklumat carian itu, Pemuda UMNO mahu RCI melakukan siasatan ke atas nilai kerugian baharu yang dinyatakan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pemuda UMNO di Menara Dato' Onn di sini.
Baru-baru ini, Abdul Murad tampil mendedahkan bank pusat itu pada 1991 sehingga 1993 terbabit dalam perdagangan spekulasi mata wang antarabangsa yang berisiko tinggi sehingga menyebabkan kerugian lebih daripada jumlah yang dilaporkan.
Menerusi kegiatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993, BNM dilaporkan mengalami kerugian sehingga AS$10 bilion (RM44 bilion). Khairul Azwan berkata, tindakan 'cover up' itu dianggap satu jenayah yang perlu disiasat melalui penubuhan RCI bagi mencari pihak yang memanipulasi dan menyebabkan BNM muflis pada 1991.
"Pemuda UMNO mengambil serius terhadap pendedahan yang dibuat bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid mengenai kerugian besar dalam urus niaga mata wang atau forex trading pada tahun 1991 yang membawa BNM ke tahap muflis," katanya.-BH Online