Wednesday, 4 May 2016

Banglo Lim Guan Eng : Peguam Negara Nafi Tutup Kes Akuan Berkanun Palsu Phang Li Koon




PETALING JAYA – Jabatan Peguam Negara menafikan telah memutuskan untuk menutup siasatan melibatkan ahli perniagaan Phang Li Koon yang didakwa membuat kenyataan palsu dalam Akuan Bersumpah (SD).

Ini kerana menurut jabatan itu, kes berkenaan masih dalam proses kajian.

“Jabatan Peguam Negara ingin menegaskan sehingga kini Peguam Negara belum membuat apa-apa keputusan berkaitan kes berkenaan dan ia masih dalam proses kajian dan tindakan Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab dilaporkan sebagai berkata, Peguam Negara telah memberitahu Timbalan Pendakwa Raya kes itu diklasifikasikan sebagai ‘Tiada Tindakan Susulan’ (NFA).

“Saya dimaklumkan mengenai keputusan ini dua hari lepas dan oleh itu ia telah ditutup,” kata Abdul Ghafar dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, pagi tadi.

Li Koon adalah pemilik asal banglo di Jalan Pinhorn, George Town yang dibeli Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada harga RM2.8 juta yang dikatakan rendah daripada harga pasaran.

Pada 23 Mac lalu, Pemuda Umno Pulau Pinang membuat laporan polis berhubung SD Li Koon yang didakwa mengandungi maklumat kurang tepat.

Wanita itu dalam SDnya bertarikh 22 Mac lalu berkata, beliau tidak mendapat sebarang manfaat daripada kerajaan negeri atas penjualan banglo itu dan “tiada urusan dengan kerajaan negeri”.

Bagaimanapun, sepucuk surat dimuat naik ke beberapa blog yang mendedahkan Li Koon bertanya tentang cadangan kerajaan negeri membina enklaf pekerja asing di Juru dan Batu Kawan.

Surat itu yang ditujukan kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang milik negeri, ditandatangani ‘Phang Li Koon’ yang merupakan pengarah sebuah syarikat bernama ‘Magnificent Emblem Sdn Bhd. – FMT



Related Posts: