KUCHING -Isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dibawa pembangkang khasnya DAP dan PKR hanyalah agenda untuk raih undi dan mengelirukan pengundi tanpa mengambil berat kepentingan rakyat.
Manifesto yang dibawa mereka konon mahu memansuhkan GST jika memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 kali ini dan memerintah Sarawak sebenarnya satu pembohongan, kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.
Sedangkan ujar beliau, dua buah negeri iaitu Pulau Pinang dan Selangor yang masih lagi diperintah oleh pihak pembangkang sejak 2008 pun turut mengekalkan cukai itu yang dilaksanakan secara rasmi pada 1 April 2015.
Mengulas perkara tersebut, Adenan mencabar kerajaan Pulau Pinang dan Selangor yang masing-masing ditabdir oleh DAP dan PKR menghapuskan terlebih dahulu GST untuk membuktikan mereka mampu berbuat demikian.
“Kenapa Selangor dan Pulau Pinang kini masih ada GST. Saya mencabar (ketua menteri) Lim Guan Eng dan (menteri besar) Mohamad Azmin Ali memansuhkan GST di Pulau Pinang dan Selangor terlebih dulu,” katanya.
Pengerusi Barisan Nasional Sarawak itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyerahan Pampasan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Kampung Sorak Dayak, Serian.
Dalam pada itu, berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Warga Industri Tanjong Kidurong di Dewan Suarah Bintulu dekat sini semalam, Adenan mendedahkan kenapa isu GST diperbesar-besarkan pembangkang ketika ini.
Antara lain susulan tiada isu besar timbul di seluruh Sarawak sepanjang PRN kali ini menyebabkan pembangkang terpaksa menyebarkan dakyat jahat konon rakyat Sarawak begitu menderita dengan kewujudan GST di negeri itu.
“Kita tahu mereka tidak mampu mansuh GST, mereka cuma mahu kelirukan rakyat sahaja kerana perkara pertama kita kena tahu ialah hanya kerajaan persekutuan dapat berbuat demikian bukan kerajaan negeri,” jelas Adenan.
Jika benar GST membebankan rakyat Sarawak ujarnya, timbul persoalan mengapa pembangkang tidak berbuat sedemikian di negeri yang ditadbir mereka sebelum memikirkan masalah bebanan hidup rakyat di negeri lain.
Tohmahan pembangkang itu juga bertentangan fakta beberapa dasar Adenan yang sudah memansuhkan cukai kerajaan tempatan, pengurangan cukai tertentu dan menyerap GST demi mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Pada 30 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi pendirian bahawa kerajaan tiada sebarang rancangan untuk menaikkan kadar GST, malahan kadar enam peratus pada masa ini akan dikekalkan.
“Sebagai Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, saya ulangi jaminan bahawa langsung tidak ada perancangan untuk ubah kadar GST pada masa ini dan ia dikekalkan,” katanya dalam catatan terbaharu di blog.
Najib yang beberapa hari berada di Sarawak untuk kempen PRN berkata, beliau ada mendengar khabar angin mengenai kenaikan kadar GST dan meminta rakyat tidak terpengaruh dengan pembohongan pihak pembangkang.
“Saya menasihatkan rakyat Sarawak janganlah terperangkap dengan fitnah jahat dan pembohongan oleh pembangkang yang sudah hilang modal politik berkempen sepanjang PRN pada kali ini,” kata beliau lagi.
Mungkin pembangkang masih tidak sedar kelebihan GST dalam membangunkan ekonomi, malah banyak negara seluruh dunia berjaya melaksanakan GST untuk menjana pertumbuhan negara. – Bnbbc