Monday 18 April 2016

Kedatangan Dr Zakir Naik Ke Malaysia Tutup Mulut Pembenci Islam


Suasana meriah di stadium hoki bukit jalil ketika ceramah Ustaz Zakir Naik.

Paling kurang enam orang sudah sah memeluk Islam di Malaysia dalam program ceramah pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik sejak beliau berada di sini beberapa minggu lepas.
Dalam program ceramah di Stadium Hoki Bukit Jalil, malam tadi, empat individu memeluk Islam di sana. Antara yang mengejutkan rakyat negara ini ialah keislaman bekas penganut Kristian, Nina Grace dari Kulai, Johor dalam program Dr Zakir di Kemaman, Terengganu.
Semalam, orang pertama menerima Islam ialah seorang lelaki dari daerah Punjab, India bernama Hurender Bal Singh tepat pukul 12 tengah malam tadi manakala seorang lagi ialah wanita yang merupakan penganut Kristian fahaman Roman Katolik sebelumnya.
Orang ketiga menerima agama Allah itu ialah seorang wanita pada pukul 1.37 pagi dan individu keempat ialah Joel Anak Along pada pukul 2.03 pagi dan sebelum ini beliau difahamkan sudah mendalami Islam di Hidayah Center.
Jumlah mereka yang memeluk Islam dalam program ceramah beliau di Malaysia merupakan antara jumlah yang tertinggi ketika beliau mengadakan ceramah di mana-mana negara lain di dunia ini.
Bukti ini jelas menutup mulut pengkritik-pengkritik yang mempunyai rasa iri hati dan takut dengan kehadiran Islam bimbang agama yang dianuti mereka terjejas jika ramai berpaling memeluk satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah itu.
Sebelum ini, satu gerakan dari kaum India iaitu Hindraf melabelkan Dr Zakir sebagai satu ancaman kepada keselamatan negara dan mahu kehadirannya di Malaysia diharamkan.
Pengerusi Hindraf P Waytha Moorthy berkata pendakwah itu dilihat menggalakkan keganasan dan kerap dilihat mengkritik perbezaan kepercayaan agama yang terdapat di negara ini.
Beberapa pihak dari penganut agama Hindu juga sependapat dan meminta agar kehadirannya di halang bagi mengelakkan kononnya fahaman salah mengenai agama Hindu disebarkan oleh Dr Zakir.
Seorang pemimpin DAP juga termasuk dalam beberapa orang individu yang begitu tida berpuas hati dengan kedatangan pendakwah yang berasal dari India itu ke Malaysia.
Bagaimanapun, dek kerana Islam adalah agama Persekutuan dan dianuti oleh sebahagian besar majoriti rakyat Malaysia, kehadirannya tetap dibenarkan dan pihak berkuasa sentiasa mengawal keselamatan beliau.
Kehadiran beliau jelas membawa lebih banyak cahaya keislaman kepada penganut agama lain untuk hadir mendengar ceramahnya, bertanyakan soalan dan seterusnya mendapat hidayah dari Allah SWT untuk menjadi seorang Muslim.