Friday 15 April 2016

Hubungan Dua Hala Malaysia-Turki Semakin Kukuh Sejak FTA - Najib



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (barisan kedua, dua, kiri) bergambar bersama 
ketua-ketua negara asing yag menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam
OIC) ke-13 di Pusat Kongres Istanbul Rabu

ISTANBUL- Hubungan dua hala antara Malaysia dan Turki kini semakin kukuh sejak penguatkuasaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) kedua-dua negara pada 2014, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata nilai dagangan kedua-dua negara melonjak 48.4 peratus pada 2015, berbanding tahun sebelumnya, namun usaha lebih gigih perlu dilakukan bagi mencapai sasaran dagangan bernilai AS$5 bilion menjelang 2020.

"Presiden Erdogan bersetuju supaya nilai sasaran AS$5 bilion menjelang 2020 itu memerlukan usaha lebih gigih lagi," katanya kepada pemberita Malaysia di sini.

Terdahulu, Najib mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-13, di sini.

Najib berkata syarikat Malaysia juga telah memainkan peranan besar dalam pelaburan di Turki, antaranya Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Khazanah Nasional Bhd dan Tenaga Nasional Bhd.

"MAHB (pemilik penuh dan pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG) di Istanbul) misalnya, pada mulanya melabur (pada 2008 bersama rakan konsortium) tetapi kini telah miliki sepenuhnya ISG (pada Disember 2014).

"Khazanah pula telah melabur sebanyak 72 peratus dalam bidang penyediaan insurans kesihatan Acibadem Sigorta (pelaburan sebanyak AS$252 juta), manakala TNB pula berjaya meneroka sektor tenaga di Turki (kejayaan pengambilalihan 30 peratus pegangan dalam GAMA Enerji oleh TNB pada 14 Dis, 2015)," katanya.

Najib berkata hubungan dua hala yang kukuh itu membolehkan syarikat Malaysia melabur di Turki yang mempunyai pasaran luas dengan jumlah penduduknya kini seramai 80 juta orang.

"Saya juga meminta Erdogan supaya syarikat Turki mengimbangi (pelaburan) yang kita lakukan di Turki, sebab pada masa ini nampaknya syarikat Malaysia mengatasi jumlah pelaburan yang dibuat syarikat Turki di Malaysia," katanya.


-- BERNAMA