Thursday 3 March 2016

ROSMAH- Gariskan kepentingan pembangunan kanak-kanak dalam lawatan ke sekolah





RIYADH, 3 Mac (Bernama) -- Riyadh Schools, yang dianggap sebuah institusi pendidikan terkemuka dan unggul di Arab Saudi, menyuarakan minatnya untuk menyertai Persidangan Antarabangsa PERMATA 2016 Mei ini.

Ini susulan daripada perbincangan di sini pada Rabu antara isteri Perdana Menteri yang juga Penaung PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Pengarah Riyadh Schools Abdullrahman Algofaili.

"Mereka menunjukkan minat, bukan sahaja untuk menghadiri persidangan itu, tetapi juga melihat bagaimana kami boleh bekerjasama dalam bidang pendidikan bagi menambah baik program masing-masing dalam menyerlahkan kebolehan terbaik dalam diri setiap pelajar," kata Rosmah selepas melawat sekolah itu.

Bertemakan 'Children Beyond Tomorrow' (Kanak-kanak Melampaui Hari Esok), persidangan itu dijadual berlangsung dari 31 Mei hingga 2 Jun di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Ia bertujuan mewujudkan kesedaran dan kefahaman tentang pembangunan diri individu muda dan pertumbuhan mereka secara optimum.

Semasa kunjungan itu, Rosmah dan Abdullrahman mengambil peluang bertukar-tukar maklumat tentang institusi dan program masing-masing.

Menurut Abdullrahman, Riyadh Schools ditubuhkan pada 1969 hasil daripada keinginan sekumpulan pendidik Arab Saudi untuk mempunyai sebuah sekolah bertaraf dunia.

Sejak itu, ia mewujudkan hubungan dengan institusi terkemuka seperti Harvard University dan Real Madrid Academy.

Di bawah naungan Rosmah, PERMATA melaksanakan inisiatif berkaitan pendidikan dan pembangunan kanak-kanak seperti PERMATA Negara, PERMATA Seni, PERMATA Pintar, PERMATA Insan dan PERMATA Kurnia.