Thursday 3 March 2016

PAS TIDAK SERTAI MAJLIS TUNTUT PENYINGIRAN PM



3 MAC: Setelah mengumumkan tidak turut serta perhimpunan anti Najib 27 Mac ini, PAS juga tidak akan bersama dalam majlis menandatangani deklarasi menuntut penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dijangka esok.
Setiausaha agungnya Datuk Takiyuddin Hassan berkata PAS mempunyai pendekatan tersendiri khususnya melalui “Blok Politik Ketiga” ke arah mengubah kepimpinan negara melalui “saluran yang demokrasi dan berperlembagaan”.
“PAS menghargai pelawaan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk PAS sama-sama hadir dalam Majlis Menandatangani Deklarasi Menuntut Penyingkiran Perdana Menteri Malaysia yang dijangka diadakan pada Jumaat ini.
“PAS mengambil keputusan untuk tidak bersama dalam program tersebut kerana PAS mempunyai pendekatan ketiga ke arah mengubah kepimpinan negara yang ada hari ini melalui saluran yang demokrasi dan berpelembagaan,” katanya.
Sebaliknya Takiyuddin berkata PAS menuntut supaya parlimen Malaysia dibubarkan segera bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan dengan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat bagi menggantikan kerajaan pusat hari ini yang terpalit dengan pelbagai skandal dan kelemahan urus tadbir.
“Selaras dengan itu PAS mengajak seluruh rakyat untuk bersama PAS dan blok ketiga sebagai alternatif menggantikan kerajaan hari ini ke arah membina negara Malaysia yang lebih baik, sejahtera dan semerlang,” katanya pada kenyataan media, Khamis.