Wednesday 2 March 2016

Matinya Seorang Negarawan…


Satu ketika dahulu, rakyat Malaysia cukup berbangga dengan pencapaian anak kelahiran Alor Setar, Kedah yang membawa negara berubah dari sebuah negara pertanian kepada sebuah negara berasaskan industri. Selama hampir 23 tahun beliau mentadbir negara, bukan sedikit hasil cetusan ideanya membawa kepada kemajuan negara.
Sebutlah apa sahaja cetusan ilhamnya seperti pembinaan KLCC, KL Tower, Lebuh Raya Utara Selatan dan lain-lain lagi, kesemuanya membuktikan bahawa Malaysia juga boleh melakukan perubahan hasil daripada air tangan dan idea rakyatnya sendiri, tanpa perlu mengharapkan campur tangan pihak luar.

images (22)

Malah, beliau bukan sahaja mampu mencetuskan rasa kagum rakyat Malaysia hasil daripada perubahan Malaysia, ia juga turut mengheret banyak komuniti antarabangsa, memandang Malaysia sebagai sebuah negara yang cukup progresif dan membangun, seiring dengan kehendak keadaan semasa dunia.
Itulah Tun Dr Mahathir Mohamed, individu yang mencorakkan pembangunan negara seiring dengan kepesatan kemajuan dunia. Itu cerita semalam. Lain pula hari ini apabila seorang yang dilabelkan sebagai Negarawan, kini sudah lama “mati” dalam kerakusan dirinya sendiri.
Bukan sekali beliau mengkhianati perjuangan yang diasaskannya sendiri. Pada 29 Februari lalu, itulah kali kedua beliau mengkhianati perjuangannya dan kali ini dikatakan, jauh lebih teruk daripada apa yang dilakukannya sebelum ini.
images (23)

Penentangannya terhadap pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib, yang dituduhnya sebagai korup dan penuh skandal, bukan sahaja membutakan mata beliau sendiri, tetapi beliau juga berjaya membutakan mata ramai penyokongnya di dalam UMNo sehingga ada yang bertindak di luar kawalan dengan menjadi pengkhianat di dalam UMNO itu sendiri.
Kebanyakan mereka yang pernah mengkagumi Tun M kini tertanya-tanya, kemanakah hilangnya seorang negarawan ulung yang lahir dari kalangan rakyat biasa dan menjadi Perdana Menteri paling lama di Malaysia. Politik nyata telah membuatkan beliau kini “mati” sebelum tiba waktunya.
Pastinya ramai dikalangan rakyat negara ini merindui kelibat seorang negarawan yang sentiasa mengeluarkan idea-idea bernas untuk negara. Namun harapan berkenaan mungkin boleh dikuburkan bersama-sama nafsu politik beliau sendiri. Langkah beliau yang untuk kali kedua meninggalkan UMNO, nyata menjadi kemuncak kepada kematian beliau sebelum waktunya.

images (25)

Kini, seluruh negara pastinya memandang, apa yang akan beliau lakukan selepas ini. Ditambah pula dengan kerjasama pelik antara beliau dengan “musuh” politik beliau sepanjang zaman, hanya semata-mata mahu meminta pertolongan DAP bagi menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib. Tindakan beliau kali ini, saling tidak tumpah seperti si Kitol yang tergamak mengkhianati Sultan Melaka bagi membuka pintu Kota Melaka.
Usah lagi mengenang jasa orang yang sudah “tiada”. Tun Dr Mahathir yang kita kenali dahulu telah lama “mati” dalam arus nafsu politik beliau. Yang ada hari ini adalah sisi gelap seorang individu yang pernah dikagumi ramai pihak termasuk penulis. Tidak akan mungkin, kita akan mendapat semula aura Mahathir bin Mohamed didalam arus perdana hari ini, esok dan akan datang.