Sunday 27 March 2016

Mahathir Sedia Kerjasama Dengan Kit Siang, Wan Azizah Untuk Jatuhkan Najib




Bekas perdana menteri selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau secara terbuka bersedia untuk bertemu dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesediaannya untuk bertemu Wan Azizah itu adalah bagi membincangkan tentang cara untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Belum ada (berjumpa dengan Wan Azizah). Kalau dia nak, boleh. Saya terbuka. Tujuan saya satu, untuk jatuhkan Najib.



“Hari ini perjuangan kita terhad kepada satu sahaja untuk menjatuhkan Najib. Untuk jatuhkan Najib, dengan sesiapa pun saya bekerjasama termasuk (Lim) Kit Siang,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk bertemu dengan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahathir hanya berkata:

 

“Itu kita tengoklah (nak berjumpa keluarga Anwar),” katanya lagi.

Sebelum ini, bekas timbalan ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan mendakwa bahawa Anwar berhasrat untuk memulihkan hubungan antara keluarganya dan Mahathir.

Khairuddin yang juga sepupu Anwar, mendakwa Anwar memintanya cuba mencari jalan untuk memulihkan hubungan antara keluarga mereka.


Menurut, Khairuddin pertemuan yang dicadangkan itu masih belum berlaku kerana Wan Azizah masih “emosional”.