Sunday 13 March 2016

Ketua UMNO Bahagian Seluruh Negara Teguh Sokong Najib Razak



Seramai 147 orang Ketua UMNO Bahagian dari seluruh Malaysia berhimpun dan menyatakan sokongan kukuh kepada Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu program khas.
Program itu diberi nama Deklarasi Ketua-Ketua UMNO Bahagian Seluruh Malaysia di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang semalam.
Biarpun 41 lagi tidak hadir kerana urusan lain, mereka juga turut menyatakan sokongan deklarasi menyokong Najib itu. UMNO seluruh negara mempunyai sebanyak 191 Bahagian kesemuanya.
Hanya tiga sahaja tidak menyokong deklarasi ini iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Jerlun).
Deklarasi menyokong Najib ini mendesak UMNO bertindak memecat sesiapa sahaja pemimpin UMNO yang menjalin kerjasama dengan pembangkang dan memecat mereka yang menyandang jawatan dalam syarikat milik kerajaan (GLC).
Program itu bermula pada pukul 4.45 petang dan berakhir satu jam kemudian.
Ia juga mahu kerajaan mengambil tindakan tegas untuk menguatkuasakan segala peruntukan undang-undang, ke atas pihak yang mengganggu pentadbiran negara.
Semasa program itu, deklarasi berkenaan dibacakan oleh veteran UMNO Datuk Yusof Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Gajah. Beliau mewakili atas nama solidariti kesemua mereka.
Kesemua 147 orang juga mengutuk tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana sanggup bersama-sama dengan pembangkang dalam satu deklarasi
Mereka menyatakan sokongan penuh kepada Najib dan bertindak mengutuk tindakan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed bersekongkol dengan parti pembangkang.
Di bawah, disertakan sekali deklarasi penuh sokongan mereka kepada Najib.
– PRU14.tv
DEKLARASI KETUA-KETUA UMNO BAHAGIAN SELURUH MALAYSIA
Kami Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh Malaysia hari ini, Sabtu 12 Mac 2016, mencapai satu ketetapan dan kesepakatan berhubung isu ‘Deklarasi Rakyat’ yang didalangi oleh Tun Dr Mahathir Bin Mohamed, yang dilakukan bersama dengan pemimpin DAP, PKR dan PAN pada Jumaat, 4 Mac 2016.
——————————-
Menginsafi bahawa Sistem Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan, keluhuran PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN dan kemuliaan RUKUN NEGARA, wajib dipertahan oleh setiap warganegara, bagi menjamin keamanan, kesejahteraan dan keharmonian; MAKA kami Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh Malaysia bersepakat menyatakan DEKLARASI berikut;
1. KAMI Ketua-Ketua UMNO Bahagian mengambil ketetapan, bersatu berikrar memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bagi kepada YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional serta menyokong penuh dan mempertahankan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak sebagai PERDANA MENTERI Malaysia, untuk terus memimpin negara.
2. KAMI Ketua-Ketua UMNO Bahagian juga bersepakat, MENGUTUK sekeras-kerasnya dan amat kesal dan kecewa dengan tindakan mantan Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Bin Mohamed, yang sanggup bersekongkol dengan PEMBANGKANG (DAP, PKR dan PAN) serta mengepalai “Deklarasi Rakyat“, bersama Lim Kit Siang yang bertujuan untuk menjatuhkan YAB Dato’ Sri Najib Bin Tun Abdul Razak, selaku PERDANA MENTERI Malaysia, yang jelas bertentangan dengan amalan dan sistem demokrasi negara, tanpa mempedulikan kesan dan implikasi terhadap perbuatannya itu kepada negara dan rakyat.
KAMI mendesak Kerajaan bertindak tegas, menguatkuasakan segala peruntukan undang-undang, terhadap mana-mana pihak yang menggugat sistem pemerintahan negara.
3. KAMI Ketua-Ketua UMNO Bahagian MENDESAK Kerajaan dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), bertindak tegas dan menghalang segala “road show” dan Perhimpunan Haram, yang bakal dianjurkan oleh mana-mana pihak khususnya Pembangkang, bagi tujuan meracuni dan menghasut pemikiran rakyat, berdemonstrasi di jalanan dan apa-apa usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri Malaysia secara TIDAK DEMOKRATIK.
4. KAMI Ketua-Ketua UMNO Bahagian bersetuju dan bersepakat mendesak Kerajaan agar menamatkan serta merta segala perjawatan yang dipegang oleh mana-mana pemimpin atau bekas pemimpin UMNO dan Barisan Nasional, di dalam Kerajaan atau GLC, yang secara jelas melanggar dan menghasut untuk mempersenda dan merosakkan sistem pemerintahan DEMOKRASI BERPARLIMEN dan RAJA BERPERLEMBAGAAN, menggugat dan tidak menghormati PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN, memperlekeh KEDAULATAN UNDANG-UNDANG dan tidak menghormati RUKUN NEGARA.
5. KAMI Ketua-Ketua UMNO Bahagian mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir pemimpin UMNO yang masih memegang jawatan, khususnya YB Tan Sri Muhyiddin Bin Mohamad Yassin dan YB Dato’ Seri Mukhriz Bin Tun Mahathir yang bersekongkol dan bersubahat dengan agenda pembangkang untuk menjatuhkan Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak daripada jawatan Perdana Menteri Malaysia yang dipilih secara demokrasi.
KAMI MENDESAK Majlis Tertinggi UMNO dan Lembaga Disiplin UMNO, mengambil TINDAKAN DISIPLIN yang tegas kepada ahli-ahli UMNO yang terlibat dengan “Deklarasi Rakyat” dan bersekongkol dengan pembangkang.
6. KAMI Ketua-Ketua UMNO Bahagian BERIKRAR dan BERJANJI akan berusaha keras memelihara kerukunan dan keharmonian rakyat pelbagai bangsa dan agama, memimpin rakyat Malaysia di kawasan masing-masing dan MENDOKONG dan MEMPERTAHANKAN sepenuhnya SISTEM DEMOKRASI BERPARLIMEN dan RAJA BERPERLEMBAGAAN, PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN dan RUKUN NEGARA.