Saturday 12 March 2016

Jangan Jatuhkan Pemimpin Tanpa Bukti


KUALA LUMPUR – Semua pihak diingatkan agar sentiasa menghormati undang-undang negara dengan tidak mudah menjatuhkan hukuman terhadap seseorang tanpa bukti kukuh.

Peringatan itu dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang selepas melihat terlalu ramai yang mengikut perasaan dan mudah menjatuhkan hukuman terhadap seseorang walaupun belum didapati bersalah.

“Saya nak ingatkan anda boleh kata apa saja, tetapi kedaulatan undang-undang perlu dijaga. Seseorang yang tidak dibuktikan bersalah tidak boleh dijatuhkan hukuman,” katanya, merujuk beberapa kes dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan kepimpinan negara.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku ‘Dayak Woman In The House’ tulisan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Doris Sophia Ahmad Brodie, di sini malam tadi.

Dalam pada itu Abu Zahar turut meminta masyarakat supaya mengutamakan kedaulatan undang-undang negara walau dalam apa jua keadaan.

Ini kerana kata beliau,terdapat sebahagian daripada rakyat Malaysia mengikut perasaan sehingga melupakan prinsip yang diamalkan di negara ini.

Menurutnya, semasa mewakili Malaysia dalam persidangan anti rasuah baru-baru ini, beliau mendapati banyak wakil-wakil negara lain bercakap mengenai negara ini.

“Saya bagi tahu kepada semua wakil-wakil di seluruh dunia yang banyak bercakap mengenai negara kita…

“Saya bagi tahu berterus-terang kepada mereka, anda boleh mengatakan apa yang anda suka tapi jangan lupa kedaulatan undang-undang (Malaysia),” tegasnya.