Wednesday 2 March 2016

Gempa Bumi Gegarkan Pulau Pinang


Butterworth – Gempa bumi dengan kekuatan 8.3 skala Richter yang dilaporkan berlaku di Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat pada jam 8.49 malam waktu Malaysia sebentar tadi turut menggegarkan beberapa kawasan di Pulau Pinang.

Berdasarkan laporan MetMalaysia, gegaran tersebut turut dirasai di Shah Alam, Subang dan Klang di negeri Selangor.

Namun tiada ancaman tsunami dikeluarkan untuk Malaysia.

Menurut salah seorang penduduk yang dihubungi SuaraTV sebentar tadi berkata, antara bangunan tinggi yang merasai gegaran itu ialah Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di Georgetown yang menempatkan pejabat-pejabat kerajaan dan kompleks membeli-belah.

Sementara itu beberapa balai bomba dan penyelamat di kawasan Kajang, Shah Alam dan Petaling Jaya turut menerima panggilana kecemasan berhubung gegaran tersebut dan anggota bomba telah dikerah untuk membuat pemantauan di lokasi-lokasi yang terlibat.

Media republik sebelum ini melaporkan bahawa amaran tsunami sudah dikeluarkan di kawasan gempa.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia mengingatkan penduduk di Sumatera Barat, Sumatera Utara, Aceh, Bengkulu dan Lampung untuk berwaspada.

Setakat ini belum ada laporan mengenai kemusnahan harta benda atau kehilangan nyawa. – SuaraTV