Tuesday 22 March 2016

Dato Jamal Bawa 13 Peguam Ketika "Serah Diri"


AMPANG – Datuk Jamal Yunos membawa 13 peguam bersamanya ketika hadir memberi keterangan di Balai Polis Ampang Jaya, petang ini, kerana didakwa melakukan jenayah ugutan.

Ketika ditemui pemberita, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar yang terkenal dengan Himpunan Baju Merah berkata, beliau dengan bantuan barisan peguamnya akan membuktikan tuduhan terhadapnya tidak benar.

“Kami akan terus melawan dan tegakkan kebenaran untuk pastikan tuduhan terhadap kami itu salah,” katanya kepada pemberita sebelum memberi keterangan kepada polis.

Jamal dipanggil memberi keterangan kepada polis berhubung ancaman membakar billboard atau papan tanda gergasi “Anwar Tahanan Politik” di beberapa kawasan di Selangor.

Dalam masa sama, Jamal berkata, beliau akan meneruskan usaha untuk menyaman pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor kerana membenarkan billboard kempen pembebasan Anwar dipasang.

Sebelum itu, kira-kira 300 penyokong mengiringi Jamal ke balai polis sambil melaungkan “Hidup Jamal” dan “Hidup UMNO”.

Sabtu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta PBT di Selangor menurunkan papan tanda, kain rentang dan billboard kempen pembebasan Anwar kerana bekas Ketua Pembangkang itu bukan tahanan politik.

Hari ini, polis mengiringi PBT menurunkan kain rentang kempen pembebasan Anwar di Ampang dan rakaman video itu disebarkan di media sosial.

Difahamkan, papan tanda dan billboard di beberapa PBT akan diarah diturunkan dalam waktu terdekat ini.