Sunday 28 February 2016

TUGAS TIMBALAN PRESIDEN SATU TANGGUNGJAWAB - ZAHID..



LAWAS: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata amanah diberikan kepadanya untuk menjalankan tugas sebagai timbalan presiden UMNO adalah satu tanggungjawab.
Mengucapkan terima kasih kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO atas kepercayaan itu, katanya beliau tidak menganggap ia sebagai satu hadiah tetapi berupa tanggungjawab baharu yang turut didukung oleh anggota MT yang lain.
Menurutnya, babak-babak baharu dalam perkembangan politik negara perlu dibuka, bagi meninggalkan atau melupakan apa-apa kekaburan mahupun kekeliruan yang timbul sebelum ini.
“Pada hemat saya tugas dan tanggungjawab ini tidak mengetepikan mana-mana tokoh atau individu terdahulu yang dilihat agak bersifat ‘antagonistik’ (menentang seseorang atau sesuatu pihak) … ia keputusan sebulat suara oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Anti Dadah Kebangsaan di Taman Awam Lawas, di sini hari ini.
Jumaat lepas, MT Umno sebulat suara membuat keputusan menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden parti berkuat kuasa serta merta, dan memutuskan bahawa Ahmad Zahid akan menjalankan tugas sebagai timbalan presiden parti.
Ahmad Zahid seterusnya mengajak semua anggota UMNO, parti yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN), serta semua anggota komponen BN agar merapatkan barisan dalam membina dan memperkukuh azam baharu untuk berada di puncak sokongan.
Katanya beliau juga akan merundingi tokoh-tokoh terdahulu dalam melaksanakan tanggungjawab itu. – Bernama