Monday 29 February 2016

Sarawak: Najib Akan Tinjau Keperluan, Kebajikan Rakyat Di 'Setiap Ceruk'

PAKAN, 28 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan terus mengadakan lawatan ke setiap ceruk di Sarawak untuk meninjau keperluan dan kebajikan rakyat.

"Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai ketua kerajaan untuk berbuat demikian, tanpa mengira bangsa dan agama dan di mana mereka tinggal," katanya.

Najib berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Jawang anak Janting di Bukit Sari, lebih dua jam perjalanan dengan kenderaan dari sini melalui jalan balak.

Perdana Menteri berkata beliau mahu melihat sendiri kesan positif pelbagai projek pembangunan sosial yang dilaksanakan oleh Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak (1MSAC) di rumah panjang 43 pintu suku kaum Iban itu.

Projek itu termasuk projek hidro mikro, projek bekalan air bersih dan sistem memadam kebakaran yang direka khas untuk rumah panjang dan kampung di kawasan pedalaman.

Turut hadir ialah Pengerusi 1MSAC Datuk Joseph Salang yang juga Anggota Parlimen Julau dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Najib berkata beliau gembira 1MSAC sehingga kini telah berjaya melaksanakan sebanyak 1,431 projek di seluruh negeri untuk penduduk luar bandar.

"Saya berpuas hati melihat projek seperti empangan hidro mikro mampu menyediakan bekalan tenaga yang mencukupi untuk membolehkan rakyat menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

"Melalui sumber tenaga yang berterusan untuk pencahayaan dan peralatan elektrik, mereka boleh, misalnya, menggunakan peti sejuk untuk menyimpan makanan bagi memastikan kesegarannya untuk tempoh yang lebih lama," katanya.

Perdana Menteri berkata apabila rakyat berasa lebih selesa, mereka boleh hidup dengan lebih bersatu-padu.

"Bagaimanapun, saya sedih kerana sesetengah pihak mempolitikkan 1MSAC dan usaha murni yang telah dijalankannya," katanya.

Sementara itu, Najib berkata beliau akan berbincang dengan Kementerian Pertahanan untuk mengkaji bagaimana jalan balak yang menghubungkan dua buah sekolah rendah di kawasan itu boleh dinaik taraf menerusi "Projek Jiwa Murni" Angkatan Tentera Malaysia.'

Mengenai pilihan raya negeri Sarawak ke-11 akan datang, Perdana Menteri menyeru rakyat terus menyokong kerajaan Barisan Nasional negeri supaya ia dapat terus berkhidmat kepada rakyat.

-- BERNAMA