Monday, 1 February 2016

Rakyat Perlu Bersatu Hati Hadapi Cabaran Masa Kini – Yang di-Pertuan Agong



KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah, rakyat perlu bersatu hati dengan mengenepikan perbezaan kaum, bangsa dan politik bagi menghadapi cabaran masa kini.
Seri Paduka bertitah ini amat penting memandangkan keadaan ekonomi yang lebih mencabar di peringkat global berikutan penurunan harga minyak di seluruh dunia dan penurunan harga komoditi.
“Fenomena global ini sudah tentunya memberi impak langsung ke atas ekonomi Malaysia, justeru itu, Beta berharap agar seluruh rakyat Malaysia terutamanya warga Wilayah Persekutuan dapat terus bekerja keras dengan penuh iltizam bagi memakmurkan negara Malaysia yang tercinta.
“Dalam mengharungi senario yang semakin mencabar ini, Beta juga mendoakan agar semua rakyat Beta dapat bersatu hati dengan mengenepikan perbezaan kaum, bangsa dan politik serta mengeratkan lagi silaturahim di antara kita semua,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Istana Negara di sini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta barisan menteri Kabinet turut hadir pada istiadat tersebut.
Yang di-Pertuan Agong bertitah perancangan pembangunan dan pengurusan pentadbiran di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, perlu diteruskan.
Titah baginda, banyak projek yang berpaksikan rakyat dilaksanakan tahun lalu antaranya projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), selain program bantuan kepada golongan gelandangan dengan menyediakan Pusat Khidmat Gelandangan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera peringkat Wilayah Persekutuan diatur dengan teliti selaras dengan peredaran ekonomi semasa yang lebih berdaya saing dan mampan, titah baginda.
Titah baginda, Perbadanan Pembangunan Kampung Baru juga memainkan peranan dalam menjadikan Kampung Baru sebagai Pusat Kebudayaan Melayu dan Enklaf Aktiviti Ekonomi Baharu Bandaraya Kuala Lumpur menjelang tahun 2035.
“Tidak juga dilupakan Wilayah Persekutuan Labuan yang mempunyai banyak potensi dari segi industri pelancongan, institusi persisiran kewangan dan perbankan antarabangsa, hab logistik, institusi pendidikan awam dan swasta, hasilan laut dan pembangunan produk-produk IKS (Industri Kecil dan Sederhana).
“Beta berharap aktiviti-aktiviti murni ini dapat diteruskan bagi kesejahteraan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan penerima-penerima pingat tahun ini agar menjaga maruah dan nama baik diri sewajarnya bagi mengekalkan kemuliaan dan martabat darjah dan pingat kebesaran yang dikurniakan.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin yang dianugerahi Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama mendahului senarai 322 penerima pingat dan darjah kebesaran.
Turut menerima darjah SUMW ialah bekas datuk bandar Kuala Lumpur Tan Sri Datuk Seri Utama Dr Elyas Omar, sementara Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mah Siew Keong menerima Darjah Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Hari ini seramai 131 penerima menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan, dan selebihnya akan menerima anugerah masing-masing Rabu ini.
-Bernama