Tuesday 16 February 2016

Peminjam Bermasalah Bayar Pinjaman PTPTN Diminta Dapatkan Khidmat Nasihat AKPK


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meminta kira-kira 662,000 orang peminjam yang bermasalah melunaskan pinjaman untuk tampil berbincang dengan badan itu bagi mengelakkan tindakan lanjut diambil.
Pengerusinya Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata jumlah itu adalah setakat Disember tahun lalu dan mereka digesa untuk tampil mendapatkan khidmat nasihat pengurusan kredit.
Peminjam boleh mendapatkan bantuan rujukan melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk menstrukturkan semula pembiayaan bayaran ansuran bulanan mengikut kemampuan mereka.
“PTPTN akan terus mengamalkan sikap mesra pelanggan tetapi jika kita tidak mempunyai pilihan lain, maka kita terpaksa mengambil tindakan penguatkuasaan sebagaimana yang diambil oleh insitusi kewangan lain,” katanya.
Beliau sebelum itu hadir pada majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara PTPTN dan AKPK di Menara PTPTN di ibu negara semalam.
Seramai 1.8 juta orang peminjam PTPTN masih belum membuat pembayaran balik dengan jumlah hutang mencecah RM15.3 bilion sehingga Disember tahun lepas.
Sepanjang tempoh itu, PTPTN telah berjaya mengutip RM7.1 bilion daripada 1.2 juta peminjam, iaitu hampir 47 peratus.
Pinjaman pembiayaan pelajaran PTPTN merupakan antara pinjaman yang dikatakan mempunyai bilangan peminjam yang gagal membuat bayaran ansuran antara yang terbesar dalam negara ini dan sekumpulan peminjam yang tegar tidak membuat pembayaran balik disenaraihitam dari keluar dari Malaysia.