Thursday 11 February 2016

Isu Pekerja Bangladesh : Rakyat Kita Berapa Ramai Sanggup Bekerja Dalam Keadaan Tidak Selesa?

Kini para warga laman maya telah berubah dari pakar ekonomi kepada pakar pekerja asing atau pakar berkaitan sumber manusia. Ia berkaitan berita terkini bahawa ada 1.5 juta pekerja asing Bangladesh bakal dibawa masuk ke Malaysia yang mencetuskan kekecohan di laman sosial.
Di Facebook, kecoh kononnya perkara ini mendapat bantahan kerana ia akan menyebabkan terlalu ramai pekerja asing di dalam negara seterusnya akan membawa nilai negatif kepada masyarakat.
Persoalannya? berapa ramaikah antara kita khususnya golongan muda sanggup mengenepikan soal kelayakan akademik dan melakukan pekerjaan mengangkat pasir, membancuh simen, membina bangunan, mengait buah kelapa sawit, mencuci tandas dan mungkin menjadi petugas di stesen minyak.
Berapa kerat sahaja yang sanggup apabila rata-rata mereka ada kelayakan paling kurang di peringkat sijil dan diploma. Yang paling penting, kebanyakan dari remaja di negara ini masih mempunyai ibu bapa yang berpendapatan cukup untuk menanggung keperluan termasuk kehendak mereka.
Kadangkala, ada ibu bapa sendiri yang tidak sanggup membiarkan anak mereka bekerja yang berat-berat seperti buruh binaan, ladang dan mencuci tandas kerana nanti dikatakan akan memalukan keluarga.
Kalau sanggup pun, mereka sanggup bekerja di restoran-restoran makanan segera yang berhawa dingin ataupun menjaga kedai serbaneka seperti 7 Eleven yang lebih selesa suasana tempat kerjanya.
Jika keadaan begini berterusan bagaimana mereka yang mengusahakan perniagaan sebegini mahu mendapatkan pekerja untuk memastikan premis mereka beroperasi dan berjalan lancar.
Pada zaman sebelum Malaysia mengalami rentak kemajuan yang pantas, ada ramai anak muda yang sanggup merantau ke bandar-bandar besar dan melakukan apa sahaja pekerjaan. Bagaimanapun, zaman itu sudah berlalu.
Pekerja-pekerja Bangladesh berkenaan akan mengisi beberapa kekosongan khususnya di dalam sektor perladangan antaranya ada di Sabah dan Sarawak.
Kerajaan sudahpun membuat komitmen bahawa kemasukan mereka akan dipantau dengan rapi untuk mengelaknya berlaku aktiviti tidak bermoral dan juga penyebaran penyakit yang tidak diingini kelak.
Jika rakyat yang banyaknya pengguna media sosial merungut tetapi pada masa sama mungkin anda masih menganggur mengharapkan pekerjaan, anda fikirlah sendiri sampai bila negara akan mengharapkan kepada sumbangan tenaga dari para pekerja asing ini.

Sunber : – PRU14.tv