Tuesday 23 February 2016

DAFTAR SEMUA PORTAL BERITA KEKANG SEBAR BERITA PALSU





23 FEB: Kementerian Komunikasi dan Multimedia bercadang mengkaji keperluan mendaftarkan semua portal berita dalam talian bagi mengekang penyebaran maklumat palsu atau berita tidak sahih melalui internet.
Timbalan Menterinya Datuk Jailani Johari berkata setakat ini tiada akta yang diwujudkan berkaitan keperluan mendaftarkan portal dalam talian di negara ini.
“Sekarang ini kebanyakan portal berita dalam talian sering menimbulkan isu atau mengubah fakta demi menghasilkan berita sensasi yang digemari para pembaca.


“Jadi jika ada pendaftaran seperti ini, maka isu-isu yang sering diperkatakan dan tidak jelas kesahihannya mungkin mereka akan lebih berhati-hati,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Wacana Media Sosial: Viral16 di Dewan Taming Sari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Alor Gajah, Lendu, Selasa.
Dalam pada itu menurut Jailani, dari tahun 2015 sehingga 4 Februari lepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menerima sebanyak 34 aduan yang melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengenai penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial.
Daripada jumlah itu sebanyak 18 kes telah didakwa manakala 12 kes masih dalam siasatan.
“Apa yang penting sekarang ini, kita teruskan sesi kesedaran untuk  memperingatkan masyarakat di luar sana bahawa kita mengakses internet untuk  dapatkan maklumat dan pada masa sama kita harus berhati-hati menggunakan kaedah internet tersebut.
“Jadi konsep kendiri penting dan ia harus bermula dari rumah, sebagai ibu bapa kita harus mendisiplinkan mereka dan sebagai cikgu di luar sana harus memantau para murid,” katanya lagi.
Di bawah seksyen itu, apabila seseorang disabitkan kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Share This:

  •  
  •  

Berita Bertarikh Pada 8:22 PM