Selama 12 tahun, bermula wujudnya Kementerian Wilayah Persekutuan pada 27 Mac 2004, 1 Februari pastinya akan diumumkan sebagai hari cuti bagi penduduk di tiga Wilayah Persekutuan yang ada di Malaysia. Pada hari itu, ianya akan disambut dengan pelbagai acara sebagai simbolik mengenang kewujudan Wilayah Persekutuan.
Namun, pastinya ramai yang tidak menyedari cerita disebalik kewujudan Wilayah Persekutuan. Di Malaysia, terdapat tiga buah Wilayah Persekutuan yang ditadbir terus oleh Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda, Yang Di Pertuan Agong. Ketiga-tiga wilayah berkenaan adalah Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Ketiga-tiga wilayah ini mempunyai signifikannya yang tersendiri. Kuala Lumpur lebih banyak terarah sebagai pusat perniagaan dan pentadbiran dimana disinilah terletaknya pelbagai bangunan kompleks kerajaan termasuk Parlimen, RTM, Jabatan Pendidikan dan sebagainya. Kuala Lumpur juga diiktiraf sebagai Ibu Negara Malaysia.
Kuala Lumpur mendapat pengiktirafan Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974 setelah kerajaan Negeri Selangor bersetuju menyerahkan salah satu daripada wilayahnya kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan Wilayah Persekutuan dan seterusnya menjadi Ibu Negara Malaysia.
Hari ini, Kuala Lumpur dibangunkan seiring dengan kepesatan dunia. Bukan hanya sekadar menempat kompleks bangunan pentadbiran kerajaan, malah kini Kuala Lumpur dikenali sebagai pusat membeli belah terkemuka di dunia serta keindahan bangunan hasil daripada kreativiti arkitek tempatan.
Bagi Labuan pula, wilayah ini mendapat status Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984 apabila kerajaan negeri Sabah bersetuju melepaskan pulau ini kepada Kerajaan Persekutuan. Pulau Labuan telah diisytiharkan sebagai pusat kewangan luar pantai (offshore financial centre) pada 1990 dan pelabuhan bebas cukai sejak 1956.
Bagi penduduk Sabah, Labuan dikenali kerana mempunyai pelabuhan yang dalam dan besar, yang merupakan punca asal namanya pelabuhan atau “Labuhan”. Disamping itu, Labuan merupakan satu-satunya Wilayah Persekutuan yang menawarkan bebas cukai terhadap pengunjungnya.
Walaupun dikenali sebagai pusat kewangan luar pantai, Labuan juga menawarkan pakej percutian menarik dimana pulau ini dihiasi dengan deretan pantai yang cukup cantik untuk dilawati.
Bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya pula, wilayah ini diiktiraf sebagai pusat pentadbiran negara. Di sinilah semua urusan pentadbiran dibina yang menghimpunkan kesemua jabatan kerajaan di satu lokasi. Dahulu, Putarajaya adalah satu daripada tempat terpencil didalam negeri Selangor. Tempat terpencil ini dikenali dengan nama Prang Besar.
Kawasan ini melonjak membangun dengan nama Putrajaya mulai 12 Oktober 1994. Berbanding dengan Kuala Lumpur, sebuah bandar tinggalan penjajah, Putrajaya dibangunkan oleh anak bangsa sendiri dengan bercirikan budaya tempatan.
Mula dibina pada 16 April 1995, Putrajaya di aplikasikan urusan pentadbirannya dengan menggunakan aplikasi teknologi maklumat (IT) sepenuhnya. Pada 1 Februari 2001, Putrajaya yang pada ketika itu sudah disiapkkan sepenuhnya, di isytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan ketiga dan sekali lagi kerajaan negeri Selangor merelakan satu lagi daerah mereka di iktiraf sebagai Wilayah Persekutuan.
Ini adalah serba sedikit sejarah penubuhan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan yang ada pada hari ini. Ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan dengan dipayungi oleh Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda, Yang Di Pertuan Agong, hari ini ketiga-tiga Wilayah Persekutuan kini telah menjadi tulang belakang negara dalam memastikan kesemua urusan kerajaan berada dilandasan yang betul.
Selamat Hari Wilayah Persekutuan bagi penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.