Monday, 15 June 2020
Berwaspada Wujud Sindiket Tipu Ujian Swab Covid 19 Rumah Ke Rumah
By @MNA at 15:47:00
Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan aktiviti penipuan kumpulan tertentu menyamar sebagai anggota Kementerian Kesihatan (KKM), melakukan ujian swab Covid-19 dari rumah ke rumah.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KKM telah mengesahkan tidak pernah mengarahkan pegawai atau kakitangan dari mana-mana bahagian dan unit untuk membuat saringan kesihatan rumah ke rumah
Kerajaan mengesyaki kumpulan ini menyamar sebagai pihak berkuasa KKM dan menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran palsu untuk melakukan penipuan dan rompakan.
“Setakat ini KKM hanya melakukan swab test di kawasan yang diisytiharkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sahaja.
Kalau di luar kawasan PKPD, tidak ada. Saya bimbang ini satu rompakan dan orang ramai dinasihatkan membuat laporan polis,” katanya pada sidang media khas pandemik Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Beliau diminta mengulas rakaman video yang tular di media sosial berhubung tindakan sekumpulan lelaki menyamar anggota KKM dan menggunakan sebuah kenderaan bertulis “Kementerian Kesihatan”, melakukan ujian swab dari rumah ke rumah.
Menurut Ismail Sabri, KKM telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan mendapati nombor pendaftaran yang tercatat pada van berkenaan adalah milik sebuah Perodua Myvi yang dilaporkan dicuri.