UMNO dan Pas akan terus menjalinkan kerjasama atas nama Islam serta penyatuan ummah kerana itulah yang rakyat mahukan, jelas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata demikian sebagai reaksinya terhadap kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam yang mengaitkan kemenangan pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini kerana ada gabungan antara parti Islam Pas dan ‘parti kafir’.
Label ‘parti kafir’ itu didakwa sering merujuk kepada UMNO oleh Pas, terutama semasa UMNO diketuai Dr. Mahathir.
Asyraf Wajdi berkata, beliau berasa kasihan dan bersimpati terhadap Dr. Mahathir yang masih membangkitkan perkara tersebut.
“Terdesak sungguh nampaknya Tun, saya kasihan dan simpati. Sekurang-kurangnya UMNO sudah melepasi era 22 tahun Tun sebagai
Presiden UMNO dulu yang sentiasa tanam perasaan benci pada Pas,” katanya menerusi kenyataan dalam akaun Facebook beliau hari ini.
Tambahnya, kelemahan serta kesilapan lampau akan dijadikan iktibar kerana yang lebih mustahak adalah untuk maju ke hadapan demi memastikan Islam terpelihara selain kepentingan rakyat tanpa mengira agama dan kaum terbela.
-UTUSAN ONLINE