Monday, 11 February 2019

Siapa Calon PRK Semenyih ? Jawapannya Tunggu Hari Khamis Ini.


Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calonnya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Khamis ini.
Pengumuman akan dilakukan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan 5 petang di Command Centre, Plaza Dato’ Mohd Said, Taman Pelangi Semenyih 2.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti kini mengambil tanggungjawab itu selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Pengerusi BN, berehat dari tugasan parti berkuatkuasa 18 Disember lalu.
Kejayaan pertama Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat ialah mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRK 26 Januari lalu, dengan meletakkan calon Orang Asli melawan DAP dari Pakatan Harapan (PH).
PRK DUN Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 4.45 pagi di Hospital Kajang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu, Bakhtiar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengalahkan penyandang kerusi itu, Datuk Johan Abd Aziz dari BN dengan majoriti 8,964 undi.