Monday, 4 February 2019
Diskaun 20 % Pembayaran Awal PTPTN Sudah Tiada
By @MNA at 17:58:00
PTPTN
Mahasiswa Nasional membidas tindakan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan yang dilihat lebih mencampuri urusan kerjasama UMNO dan PAS berbanding masalah yang membelenggu institusi jagaannya.
“Berikutan kenyataan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkenaan ‘kerjasama PAS dan UMNO berbahaya untuk negara’, mahasiswa merasakan bahawa permasalah PTPTN adalah lebih bahaya kepada negara.
“Mahasiswa hari ini kian akur dengan janji ‘penangguhan pembayaran balik PTPTN kepada peminjam sehingga mencecah gaji RM4000’ yang tidak dapat dilaksanakan.
“Namun mahasiswa mendesak pihak PTPTN untuk mencari solusi yang baru untuk meringankan beban peminjam,” tegasnya dalam satu kenyataan media.
Jelas Mohamad Irfan lagi, hal ini kerana jumlah tunggakan hutang sudah mencecah RM 2.74 bilion.
“Seramai 373,975 peminjam yang masih belum menunaikan hutang pinjaman PTPTN.
“Lebih menyedihkan apabila nikmat diskaun 20% pembayaran PTPTN kepada peminjam yang membuat pembayaran awal juga telah ditarik semula bagi tahun 2019,” ujarnya.
Tambahnya lagi, diskaun 20% itu memberi galakan yang besar kepada peminjam untuk membuat bayaran balik sebagaimana pada tahun 2018, sebanyak 68.62 peratus daripada 1.5 juta peminjam telah membuat bayaran balik.
“Namun begitu peratusan ini dijangka merosot berikutan 20% diskaun bayaran awal telah ditarik balik, graduan mahupun mahasiswa tiada galakan untuk membuat bayaran awal pinjaman PTPTN.
“Sekiranya perkara ini dibiarkan tanpa solusi yang baik, ia akan memberi kesan yang buruk kepada bakal peminjam baharu pada tahun 2019,” gesanya.
Justeru, beliau mendesak permasalahan tersebut harus dititikberatkan oleh Wan Saiful berbanding mencampuri urusan permuafakatan antara PAS dan UMNO kerana masalah PTPTN lebih berbahaya untuk negara.
– Media UMNO