Insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, semalam. Enam belas individu, termasuk tiga pekerja syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City) direman untuk membantu siasatan.
Mereka yang berusia antara 18 tahun hingga 49 tahun direman antara dua hingga lima hari.
Majistret Nor Ariffin Hisham di Mahkamah Majistret Peytaling Jaya mengeluarkan perintah reman bermula hari ini sehingga Sabtu ini bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap kesemua suspek.
Siasatan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK), iaitu melakukan khianat dengan api, Seksyen 148 KK (merusuh), Seksyen 427 KK (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).
Terdahulu, semua suspek dibawa ke Mahkamah Majisret dengan memakai baju lokap berwarna ungu dan jingga itu diiringi anggota polis.
NSTP melaporkan polis dilaporkan menahan 21 lelaki tempatan bagi membantu siasatan insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman yang berpunca daripada isu perpindahan tapak kuil berkenaan.
Dalam kejadian itu, 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin sebuah pusat beli-belah turut dipecah dan dirosakkan.
Akibat kejadian rusuhan itu, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang diserang perusuh berada di dalam keadaan kritikal.
Mangsa, Muhammad Adib Mohd Kassim yang kritikal kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya di bawah pengawasan lima orang doktor pakar.