UMNO meminta pemimpin serta ahli parti lain agar tidak mencampuri urusan pemilihan UMNO yang akan berlangsung pada 30 Jun ini, di mana UMNO menyifatkan campur tangan ini sebagai langkah provokasi untuk melaga-lagakan pemimpin UMNO yang menawarkan diri untuk bertanding.
Menurut Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, pemilihan ini merupakan hal ehwal dalaman parti UMNO, dan bekas pemimpin dan ahli yang kini berada dengan PKR atau PPBM tidak berhak campur tangan.
“Campur tangan itu adalah termasuk sama ada memilih tokoh tertentu atau meramalkan keputusan pemilihan, san perkara seumpama ini adalah satu cubaan kurang waras bagi mereka yang di luar UMNO. Kami hairan dengan kegiatan campur tangan seperti ini.
“Usahlah sibuk dengan parti orang lain sedangkan kemelut dalam PH sudah pun mula terserlah, terutama dalam kes agihan gerai Ramadan yang dikatakan membabitkan Ahli Parlimen Bukit Bintang.
“Umno sendiri tidak ingin mencampurinya kerana kerajaan sekarang ialah kerajaan ‘suci’ pimpinan Dr Mahathir, yang dipenuhi orang yang bebas daripada melakukan kesilapan.
“Jadi, janganlah cuba berenang di kolam orang jika kita sendiri tidak membenarkan orang lain menghampiri kolam kita,” demikian tegas kenyataan itu.
Tambah Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, ia amat mengalu-alukan pertandingan untuk semua jawatan tertinggi parti di bawah semangat kekeluargaan pada pemilihan 30 Jun ini.
“Ini mencerminkan suburnya amalan demokrasi sejak bermulanya era Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak memikul tugas presiden parti.
“Demokrasi yang diamalkan UMNO kini ternyata amat berbeza dan berlainan sekali dengan ‘penutupan’ pintu pertandingan di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi presiden apabila jawatan nombor satu dan nombor dua ‘digalakkan’ supaya tidak dipertandingkan.
“Amalan yang dilakukan di zaman Tun Mahathir itu dilihat sama dengan cara Lim Kit Siang memimpin DAP, yang dikecam dan dibenci oleh ahli serta pemimpinnya pada zaman itu,” tegas kenyataan tersebut.-MediaUMNO