Wednesday, 11 April 2018

8 Manifesto Barisan Nasional Untuk Orang Muda


Selepas BN melancarkan manifestonya pada 7 April lepas, buat pertama kalinya Pemuda Barisan Nasional turut melancarkan manifesto khusus untuk orang muda di PWTC semalam.

Daripada sejumlah 14,940, 624 pemilih pada PRU-14, 42% daripadanya adalah pengundi muda. 20 peratus pengundi muda akan mengundi buat pertama kali dalam PRU14 ini. Manakala terdapat  7,883,017 orang pengundi muda Melayu pada PRU14 ini.

Pengumuman manifesto khas untuk orang muda ini adalah suatu tawaran yang baik oleh Barisan Nasional kepada golongan muda negara ini. Tawaran yang komprehensif dan realistik untuk dilaksanakan oleh Barisan Nasional.

Bantuan kahwin menjadi perkara paling disebut-sebut dalam Manifesto Jaminan Orang Muda Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan malam tadi oleh Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin.

Perkara tentang bantuan perkahwinan itu diletakkan dalam Jaminan ke-5 manifesto berkenaan bertajuk Malaysia meringankan beban keluarga muda. Bukan sahaja bantuan kahwin, turut dijanjikan ialah kemudahan kursus keibubapaan, bantuan anak baru, insentif simpanan pendidikan.

BN juga membuat aku janji, untuk menyediakan insentif kepada majikan yang menyediakan pusat jagaan kanak-kanak, bantuan nutrisi kanak-kanak bagi mereka yang berusia 6 bulan hingga 6 tahun dari keluarga miskin tegar.

Bagi pasangan muda yang ingin berkahwin, bantuan perkahwinan akan disediakan bagi mengurangkan beban kewangan untuk berkahwin. Bantuan juga akan diberikan untuk setiap anak yang lahir melalui skim ADAM50 yang ditingkatkan jumlahnya, dan insentif untuk simpanan dalam SSPN 1Malaysia.

Orang muda juga akan diberikan peningkatan kadar pelepasan cukai pendapatan dari RM5,000 kepada RM10,000 bagi kos perubatan ibu bapa. Apa yang menarik, manifesto untuk orang muda BN menggalakkan wanita menjana pendapatan kedua dengan memudahkan syarat pinjaman mikrokredit untuk usawahan yang menjalankan perniagaan separuh masa.

Menurut Khairy, jaminan yang terkandung dalam manifesto untuk orang muda yang julung kali dibuat oleh BN itu bagi memperbaharui khidmat bakti untuk lima tahun akan datang.

BN ketika ini sudah buat sebanyak yang mungin yang terdaya untuk orang muda Malaysia, katanya."Ini musim pilihan raya. Sudah menjadi kebiasaan bagi semua yang bertanding untuk membentangkan manifesto kepada pengundi.

"Setiap lima tahun kita melihat semula kepada pencapaian lima tahun sudah, dan inilah masa kita buat perancangan yang lebih baik untuk lima tahun akan datang, " katanya berucap pada majlis pelancaran Manifesto Orang Muda BN dikenali Jaminan Orang Muda (JOM BN) di PWTC, malam tadi.

Malaysia Yang Menjamin Pekerjaan dan Latihan Untuk Orang Muda

Bagi Jaminan Pertama manifesto berkenaan, Pemuda BN berjanji menjamin pekerjaan dan latihan untuk orang muda. Ia akan direalisasikan melalui kemudahan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dengan memadankan pelajar universiti dan bakal majikan di peringkat lebih awal. Program MyInternship dan MyApprenticeship masing-masing akan memastikan setiap pelajar universiti awam mempunyai kemahiran Microsoft Office tahap tinggi dan latihan industri berkualiti.

Manakala satu lagi program akan menawarkan alternatif baru untuk belia lepasan sekolah yang ingin terus bekerja sambil berlatih dalam lima industri utama.

Malaysia Yang Meningkatkan Pendapatan dan Kemahiran Pekerja Muda

Jaminan ke-2 ialah BN menjamin akan meningkatkan pendapatan dan kemahiran pekerja muda. Pekerja muda akan dipastikan menerima peningkatan pendapatan serta akan terus mempelajari kemahiran baru. Ia akan dilakukan dengan memberikan peningkatan gaji melalui intervensi untuk menambhbaik pasaran gaji dan pekerja akan dibantu untuk mempelajari kemahiran baru secara online atau meningkatkan produktiviti melalui bantuan membeli perisian komputer berkaitan kerja.

Dalam jaminan berkenaan, BN berjanji akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing kepada paras 15 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara.

Jaminan itu turut menjaga kesejahteraan pekerja berpendapatan bawah RM2,500 ke bawah di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GUC) melalui perluasan perlindungan insurans, pertambahan manfaat dan kenaikan elaun kos sara hidup.

Malaysia Memperkasa Ekonomi Belia Luar bandar

Melalui jaminan berkenaan iaitu jaminan ketiga, orang muda di kawasan luar banda akan mempunyai peluang ekonomi yang lebih hebat di kampung halaman mereka sendiri.

Bukan hanya dengan melahirkan usahawan desa muda di setiap daerah, yang turut mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, jaminan ini akan memastikan belia desa mempunyai kemahiran dalam dunia digital.

Jaminan berkenaan akan memperkasa pekerjaan tradisional. Ia turut memperuntukkAN RM180 juta dana untuk petani muda dan 10,000 usahawan pertanian akan dibantu.

Perkara menarik ialah kemudahan MyLesen iaitu memperluaskan program untuk membantu orang muda mendapatkan lesen motosikal B2 dengan harga lebih murah.

Malaysia Yang Memudahkan Usahawan Muda Mendapat Bantuan

BN akan mempermudahkan cabaran untuk orang muda yang selama ini sukar untuk mengenalpasti bantuan dan memohon dana daripada pelbagai agensi kerajaan. Segala bantuan dana dan program latihan boleh diakses melalui satu saluran sahaja, yang akan mengurangkan karenah birokrasi ke arah proses kelulusan yang lebih pantas.

Ia akan diletakkan dalam portal Yen.gov.my. Semua kemudahan seperti kursus keusahawanan, bimbingan mentor-mentee dan perkhidmatan pengurusan seperti khidmat due diligence akan diuruskan secara online sahaja.

Melaluinya, BN akan mampu untuk melahirkan 1 juta usahawan digital dalam tempoh lima tahun akan datang. Peniaga trak makanan juga akan dibantu dengan mewujudkan kawasan khas dan program modifikasi kenderaan.

Malaysia Yang Menyediakan Kehidupan Berkualiti

Selepas memastikan orang muda di negara ini dapat membina kerjaya yang baik dan keluarga yang sejahtera, BN memberi jaminan untuk memastikan orang muda menikmati kehidupan yang berkualiti.

Ia akan dilaksanakan melalui usaha untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik bagi anak muda akan diteruskan. Selain itu, PAS bulanan untuk kegunaan pengangkutan awam tanpa had dengan harga yang rendah akan disediakan khas untuk belia.

Pengguna internet akan turut menikmati perkhidmatan internet yang lebih pantas dan murah secara berperingkat.

Capaian internet laju 100gbps akan diperluaskan ke semua universiti awam dan menurunkan harga langganan jalur lebar sebanyak 50 peratus dengan peningkatan kelajuan dua kali ganda secara berperingkat. BN akan meningkatkan jumlah unit rumah mampu milik, rumah mampu sewa dan rumah transit seperti rent-to-own dan bantuan deposit.

Malaysia Yang Memastikan Peluang Untuk Segenap Segmen

Dalam manifesto Jaminan Orang Muda BN, ia akan menjamin Malaysia menjadi negara yang memberi peluang kepada setiap segmen belia. Paling menarik, belia lepasan sekolah pondok dan belia Orang Asli akan dihubungkan dengan syarikat industri halal dan syarikat industri hijau afar mereka dapat terus menyumbang kepada ekonomi negara.

Belia Kelainan Upaya (OKU) juga akan dilatih secara online agar mereka dapat membina kerjaya tanpa diskriminasi. Tidak cukup dengan itu, BN berjanji akan memberikan peluang kepada bekas pesalah juvana, bekas penagih, ibu tunggal remaja dan gelandangan agar mereka berpeluang untuk membina masa depan yang cerah.

Malaysia Yang Mengangkat Idea Generasi TN50

Jaminan ke-8 dalam manifesto berkenaan adalah antara jaminan yang utama kerana ia akan memastikan orang muda memainkan peranan yang lebih besar dalam merealisasikan aspirasi mereka.

Melalui penglibatan dalam Pihak Berkuasa Tempatan dan Jawatankuasa Rukun Tetangga, suara orang muda akan didengari dalam urus tadbir peringkat tempatan. Ada juga program Belia@Kabinet yang memberikan ruang untuk orang muda menyampaikan idea terus ke peringkat tertinggi Kerajaan. Penjawat awam muda akan terus diperkasa dengan pelbagai skim bagi menyediakan mereka ke tampuk kepimpinan negara.

Dalam Pakatan Harapan (PH) tidak ada manifesto khusus untuk orang muda kerana mereka tidak pernah pun mengambil tahu kepentingan golongan muda. Kebanyakan pemimpin dalam gabungan itu adalah pemimpin yang sudah berumur dan hanya tahu hendak berebut kuasa serta menjatuhkan BN sahaja.

Orang muda harus pilih BN kerana janji BN adalah lebih realistik dan praktikal. Pembangkang asyik tukar janji sahaja. Dulu kata hendak mansuh PTPTN, tetapi sekarang tidak lagi. Jangan percaya janji pembangkang.

Binalah masa depan yang lebih hebat bersama BN, bukan bersama pemimpin pembangkang yang sudah berusia hampir 100 tahun.

#BersamaBN
#HebatkanNegaraku
#DahulukanRakyat
#JomBN

BB863, Rabu