SYUKUR… Rangkaian makanan segera terkemuka, McDonald’s merancang untuk menyediakan kemudahan surau di semua restoran baharu dibuka dan bakal diubah suai di seluruh Malaysia.
Pengarah Operasi McDonald’s Malaysia, Mohd. Fairul Maan berkata, reka bentuk restoran akan disesuaikan dengan kemudahan itu bagi memenuhi keperluan pelanggan beragama Islam dapat menunaikan solat fardu.
Ia antara transformasi di premis sajian yang jadi tumpuan keluarga itu setelah ‘Lesen Pembangunan’ baharu untuk pasaran Malaysia kini dimiliki syarikat Arab Saudi, Reza Food Services menerusi Lionhorn Pte. Ltd. tahun lalu.
Setakat ini hanya terdapat kira-kira 15 restoran di seluruh negara yang sudah pun dilengkapi dengan kemudahan surau lebih selesa menerusi proses pengubahsuaian termasuk di McDonald’s Pandu Lalu Kuala Terengganu.
“Bagi tahun ini, kita merancang untuk ubah suai 20 lagi restoran serta ambil kira model surau sedia ada selain pelbagai kemudahan lain dengan teknologi canggih termasuk kios pesanan layan diri dan lain-lain lagi,” katanya.
Mohd. Fairul menyatakan demikian kepada para pemberita selepas hadir menyaksikan majlis pembukaan rasmi dengan wajah baharu McDonald’s Kuala Terengganu Pandu Lalu di ibu negeri Terengganu itu pada Sabtu.
Turut hadir sama pada acara tersebut ialah Pengurus Operasi McDonald’s Malaysia Wilayah Pantai Timur, Safna Sepian dan Pengurus Besar Restoran McDonald’s Cawangan Kuala Terengganu, Wan Muhairyzal Wan Muda.
McDonald’s Malaysia setakat ini memiliki 265 cawangan di seluruh negara dengan kira-kira 15,000 pekerja. Ia mula dibuka di Malaysia sejak 1982 dan pada 1996 lalu mendapat sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Lionhorn diterajui Sheik Fadh dan Abdulrahman Alireza pernah dilaporkan berhasrat buka 200 restoran baharu McDonald’s Malaysia dengan pelaburan RM1.4 bilion, dalam masa 10 tahun dan mewujudkan 6,000 peluang kerja.
Sementara itu, Mohd. Fairul menyasarkan pertumbuhan jualan antara 15 peratus hingga 20 peratus bagi restoran McDonald’s Kuala Terengganu Pandu Lalu susulan imej wajah baharu dan kemudahan canggih yang disediakan.
Terdahulu, Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Ronald McDonald’s menyumbangkan RM3,000 kepada Asrama Pratahfiz Perkaya Terengganu sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat. – Agensi