Tuesday, 3 October 2017

Perkhidmatan Awam Perlu Berpegang Kepada Enam Falsafah Menuju TN50 - PM Najib


PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan enam falsafah yang perlu dipegang oleh perkhidmatan awam menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Enam falsafah itu adalah berkaitan kerangka Manhaj Maqasid Syariah, Tahun 2017 Sebagai Tahun Penyampaian, Prinsip Wala' dan Kesetiaan, Budaya Kerja Di Luar Kelaziman, Revolusi Perindustrian Keempat dan Ekonomi Digital Menuju TN50 serta Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi.

Ketika menyampaikan amanat kepada lebih 5,000 penjawat awam semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15, di sini hari ini, beliau berkata untuk mara ke hadapan, dalam usaha membina ketamadunan yang lebih cerah lagi unggul, perkhidmatan awam tidak boleh sekadar bernostalgia atau hanya bergantung kepada prestasi hari semalam.


Katanya falsafah pertama adalah dipegang kepada kerangka Manhaj Maqasid Syariah yang mencorakkan pembentukan negara bangsa Malaysia dan untuk tempoh 30 tahun mendatang.

"Sepanjang tempoh enam dekad, perkhidmatan awam telah bergerak pada landasan yang sama seiring dengan kerajaan, sehingga Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara Islam progresif lagi dinamik bermanhajkan Maqasid Syariah, dan berpegang kepada prinsip Wasatiyyah, Perlembangaan Persekutuan dan Ideologi Kebangsaan yang kukuh serta kesinambungan gagasan-gagasan pucuk pimpinan kerajaan," katanya.


PM Najib menunjukkan buku Falsafah Asas Transformasi Nasional 2050 (TN50) selepas majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15

Tambahnya, manhaj Maqasid Syariah yang dipegang kerajaan menyasarkan kepada masahah umum iaitu mendatangkan kebaikan kepada rakyat dengan mengambil kira tahap kemampuan kebertanggungjawaban kerajaan mengikut tiga peringkat keutamaan.

Najib berkata tiga peringkat itu adalah dha-tu-riyat iaitu keperluan asas yang paling utama; ha-jiy-yat berkaitan dengan kehendak dan keperluan umum yang membawa kepada kelapangan hidup tetapi tidak terlalu mendesak; dan ketiga tah-si-niyat, penghias dalam memberi kesempurnaan hidup.

Katanya kesemua dasar, usaha dan pendekatan itu terbukti telah membuahkan hasil apabila laporan State of The Global Islamic Economy 2016/2017 oleh Thomson Reuters, meletakkan Malaysia di tangga pertama secara keseluruhan daripada senarai 73 buah negara di dunia.

Menurutnya, Malaysia turut diakui sebagai ekosistem terbaik di dunia yang dibangunkan bagi kewangan Islam, sekali gus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) negara ini dilaporkan mempunyai Pelan Penyimpanan Islam yang terbesar di dunia.

Di bawah falsafah tahun 2017 sebagai tahun penyampaian, Najib berkata perkhidmatan awam perlu mempunyai nilai kepada rakyat bagi memastikan segala projek, insiatif dan bantuan yang telah dirancang, benar-benar sampai kepada rakyat.

"Jika tidak, sia-sialah segala perancangan dan dasar yang digubal oleh kerajaan, termasuk pelbagai bajet yang telah diperuntukkan, namun dek kerana salah penyampaian, maka berlakulah ketirisan dan gagallah matlamat kerajaan," kata perdana menteri.

Najib berkata pengukuhan dan pemerkasaan perkhidmatan awam harus tertumpu kepada menjadikan perkhidmatan awam lebih fokus kepada rakyat dan inklusif, dengan penyertaan komuniti dan berbudaya kerja serta perkhidmatan kecemerlangan setanding dan mempunyai nilai-nilai murni yang membawa kepada keutuhan organisasi.

"Saya menyeru penjawat awam agar tidak bekerja dan terus terkongkong dalam 'silo' masing-masing atau mengamalkan 'pengurusan turf', yakni mengatakan itu hak kita, orang lain jangan campur tangan atau ambil kisah, sehingga boleh mengundang kerenah birokrasi yang menyukarkan rakyat," katanya.

Mengulas prinsip Wala' dan kesetiaan pula, katanya, ia adalah satu nilai yang sangat penting dalam kepimpinan dan organisasi.

"Pokoknya, jika prinsip dan nilai Wala' serta kesetiaan ini menjadi amalan dalam perkhidmatan awam, barulah ada disiplin dan kelancaran dalam organisasi yang menunjangi kerajaan ini," kata perdana menteri.

Mengambil contoh karya agung ilmuwan besar Islam, Ibnu Khaldun, beliau berkata ia bukan sahaja menghuraikan tentang ketamadunan secara umum, tetapi turut mengupas kepentingan sifat kesetiaan sebagai pemacu kepada tadbir urus yang profesional.- Bernama


Related Posts: