
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jarang ‘libas’ lawan politiknya, namun buat julung kali beliau mula bersuara membidas seteru siasahnya itu yang dilihat semakin keterlaluan!
Ramai pemerhati politik tanah air menyifatkan Presiden UMNO itu kemungkinan besar berasa kesal dengan hipokrasi Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sanggup berbuat apa sahaja waima berbohong untuk hasut rakyat.
Najib malah ‘buka cerita’ mendedahkan segala sifat kemunafikan Mahathir, pembohongan dan ‘pusingan U’ yang pernah dibuat Mahathir berkaitan isu lawatan ke Amerika Syarikat (AS) dijemput bertemu Presiden Donald Trump.
Tiga perkara utama didedahkan Najib berhubung hipokrit Mahathir dengan pertama bagaimana bekas perdana menteri itu sanggup bayar ‘jutaan’ ringgit pada 2002 untuk menemui Presiden AS ketika itu, George W Bush.
Selain itu, Najib berkata kerugian Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang terpaksa ditanggung kerajaan hari ini adalah kerana keputusan Mahathir menswastakan syarikat penerbangan tersebut kepada kroni perniagaannya.
Tidak ketinggalan hipokrasi ketiga apabila bekas presiden UMNO selama 22 tahun itu tergamak menipu rakyat dalam isu pelaburan besar pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di AS dibuat sejak sekian lama.
Berdiri di depan ribuan penyokong UMNO akar umbi yang menyambutnya di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam Jumaat, Najib membuka rahsia hipokrit Mahathir itu.
Kata beliau, Mahathir pernah membayar berjuta-juta ringgit daripada ‘duit rakyat’ untuk melobi ejen AS bagi membolehkan bertemu Bush di White House melalui seorang pelobi yang waktu itu bermastautin di Hong Kong.
“Mahathir terpaksa mempergunakan arwah Tan Sri Megat Junid Megat Ayub sebagai perancang utamanya. Bayaran dibuat melalui kontrak TNB Batu Arang… berjuta-juta dibayar kerana hendak sangat jumpa Bush.
“(Mahathir), Janganlah jadi hipokrit. Tetapi Mahathir tidak mendapat sambutan pun di White House macam saya berjumpa dengan Presiden AS ke-45, Donald J Trump sendiri. Jika perlu kita dedahkan… kita dedahkan nanti…
“(Mahathir) jangan jadi hipokrit, kutuk lawatan saya ke AS,” katanya dalam himpunan dipimpin Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa. Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Najib, sebelum ke AS pada 11 September lalu, banyak cerita buruk diwar-warkan pembangkang termasuk mendakwa konon beliau tidak mungkin dijemput, takut ditangkap pihak berkuasa negara itu dan berbagai lagi.
“Hakikatnya saya ke AS diterima oleh Presiden Trump dengan sambutan di White House dan pengiktirafan yang luar dugaan saya sama sekali,” kata beliau sambil menyifatkan bahawa lawatan rasmi tersebut sebagai amat berjaya.
Beliau turut menjelaskan tidak pergi ke negara kuasa besar itu semata-mata untuk meminta sedekah atau melulut bagi merayu ihsan pihak asing, tetapi menyatakan bahawa Malaysia telah sampai ke tahap pelaku global.
“Saya memberi gambaran bagaimana Trump menerima kedatangan saya. Selepas pertemuan di bilik kabinet, pegawai protokol White House meminta Trump berjabat tangan dengan saya di luar pejabatnya.
“Trump kata ‘Tidak, saya mahu mengiringi beliau (Najib) ke kereta dan pegawai protokol berkata kereta saya di bawah tanah, dan Trump berkata ‘tidak mengapa, beliau kawan saya,” kata Najib.
Mengulas lanjut, perdana menteri berkata Presiden Trump sendiri menganggap beliau sebagai kawan dan menghormati kepimpinan kerajaan Malaysia diterajui Barisan Nasional.
“Saya pergi bukan kerana saya tetapi kerana dan untuk Malaysia. Kalau kita ada hubungan baik dengan China dan Arab Saudi, (ini) adalah kerana Malaysia,” katanya dipetik portal AgendaDaily.
Mengenai kritikan Mahathir terhadap pembelian sejumlah besar pesawat baharu Boeing, Najib berkata beliau hanya menyampaikan keputusan yang sudah dibuat pihak MAB, kepada Presiden Trump.
“Secara kebetulan MAB sudah buat keputusan bulan Julai tahun lepas untuk membeli 25 Boeing 737… Ini keputusan dibuat oleh MAB, saya menyampaikan kepada Trump,” katanya.
“Hanya ada dua saja syarikat buat jet penumpang, jika tidak daripada Boeing, pilihan lain ialah Airbus. Lagipun dulu siapa yang rosak MAB, hingga terpaksa baik pulih, swastakan kemudian paksa kerajaan beli balik dengan harga tiga kali ganda mahal,” kata Najib.
Perdana menteri berkata kritikan Mahathir terhadap pelaburan KWSP di AS juga bertentangan dengan kenyataan Mahathir sebelum ini yang sering menggalakkan pihak KWSP untuk aktif membuat pelaburan di luar negara.
“Jangan tipu rakyat… cukup-cukuplah, banyak sangat penipuan. Saya dapat rekod kenyataan Mahathir pada 26 April 2005, dia kata KWSP patut melabur lebih di luar negara supaya penyimpan deposit dapat dividen lebih.
“Kita perlu melabur di luar negara, namun keuntungan itu kita akan bawa balik…” ujarnya. Menurut Najib yang juga Menteri Kewangan, dana dalam KWSP pada ketika ini sudah berjumlah lebih RM760 bilion.
“Tak kan semua nak melabur di Bursa Malaysia… kalau letak di Bursa Malaysia pun belum tentu ada orang lain boleh beli saham… maka kita letak di luar negara, pihak Khazanah juga untung,” jelas Najib.
Mengambil contoh pembelian saham Alibaba Group yang disenaraikan di AS oleh Khazanah Nasional Berhad, beliau berkata sayap pelaburan kerajaan Malaysia itu mendapat keuntungan AS$1 bilion daripada usaha tersebut.
“Pembangkang sudah tidak ada modal lagi, Dia (Mahathir) u-turn,u-turn saja… tetapi tidak apa, kita pun ada rekod… kita akan dedahkan rekodnya tidak lama lagi supaya rakyat tahu,” kata Najib.
Mengulas mengenai isu Rohingya, Najib berkata beliau telah sebut melalui kenyataan rasmi kepada Trump, selain Perdana Menteri Britain, Theresa May dalam pertemuan di London pada Khamis.- Bicara News