Akta Pencegahan Jenayah (POCA) telah ditambah baik melalui beberapa pindaan supaya lebih efektif membanteras jenayah terutama jenayah terancang dan jenayah sindiket yang menggunakan kekerasan dan keganasan serta bersesuaian dengan perkembangan semasa.
YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berkata POCA dikuatkuasakan sejak 1959 untuk pencegahan jenayah di Semenanjung Malaysia terutama bagi mengawal penjenayah, anggota kongsi gelap dan individu yang mengancam keselamatan negara.
Beliau berkata POCA (Pindaan dan Pemerluasaan) 2014 yang diberi "nafas baharu" kepada POCA 1959 adalah lebih efektif dari segi keberkesanan dalam mencegah jenayah kekerasan dan dapat mengimbangi hak asasi manusia seiring dengan keselamatan dan keamanan negara.
"Kita mempunyai obligasi untuk memastikan pindaan-pindaan terhadap POCA 1959 lebih mantap, lebih baik," katanya ketika mengimbau mengenai perjalanan penggubalan POCA ketika melancarkan buku "POCA:Nafas Baharu Banteras Jenayah" karya beliau di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia mencapai tahap keselamatan yang terkawal sejak penguatkuasaan POCA (Pindaan dan Pemerluasaan) dari 2014 hingga hari ini, dengan kadar jenayah dilaporkan turun sebanyak 47 peratus.
Menghuraikan pindaan POCA 1959 yang memberi 'nafas baharu' dalam usaha membanteras jenayah, Ahmad Zahid berkata ia melibatkan kuasa menteri dihadkan yang sekaligus menghakis tanggapan salah guna kuasa menteri.
Menurutnya, Lembaga Pencegahan Jenayah ditubuhkan bagi menjaga kepentingan hak orang yang dituduh yang secara langsung telah mengurangkan kuasa mutlak menteri dan menunjukkan sistem keadilan jenayah dan hak asasi manusia diutamakan.
Beliau juga berkata undang-undang telah diperluaskan ke Sabah dan Sarawak yang menunjukkan keprihatian kerajaan menjaga keselamatan dan kemakmuran rakyat keseluruhannya.
Pindaan POCA itu melaksanakan penggunaan peranti pengawasan elektronik (EMD) ke atas orang di bawah pengawasan dan ini mengurangkan kos perbelanjaan tahanan penjara serta memupuk perasaan pencegahan dalam kalangan tahanan dan bakal penjenayah, katanya.
"POCA telah dipinda bagi menambah baik undang-undang yang sedia ada bagi mencegah dan mengawal gangsterism, jenayah berat dan jenayah terancang secara lebih berkesan serta bersesuaian mengikut perkembangan semasa," jelas beliau.
Ahmad Zahid berkata keputusan kerajaan pada 15 Sept 2011 untuk memansuhkan tiga undang-undang pencegahan iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (1960), Akta Buang Negeri (1959) dan Akta Kediaman Terhad (1933) serta menamatkan tiga Proklamasi Darurat iaitu Pengisytiharan Darurat 1966 di Sarawak, Pengisytiharan Darurat 1969 di Persekutuan dan Pengisytiharan Darurat 1977 di Kelantan adalah dianggap sebagai pelengkap kepada proses Program Transformasi Kerajaan Malaysia (GTP).
- Bernama