Saturday, 26 August 2017

Ahli UMNO Diingatkan Ketepi Budaya Ikan Keli Yang boleh Merosakkan Jentera Parti - TPM Zahid


Ahli UMNO diingatkan supaya mengetepikan budaya ikan keli yang boleh merosakkan jentera parti menerusi perbuatan sabotaj calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Naib Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya tidak diberi perhatian serius, budaya itu dikhuatiri akan mengakibatkan calon-calon yang yang dapat diterima oleh rakyat tersingkir.


Tegasnya, semua pihak tidak perlu melobi untuk menjadi calon kerana proses pemilihan calon Barisan Nasional (BN) untuk PRU-14 akan mengambil kira faktor mereka yang disukai rakyat dan dijangka boleh menang.


“Kali ini Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Insya-Allah dengan dibantu oleh saya, calon-calon tidak akan tersalah pilih, jangan ada dalam kalangan sama ada yang di atas atau di bawah sabotaj mereka yang dipilih.


“Kita tidak mahu budaya ikan keli yang mengeruhkan kolam ini berada dalam jentera UMNO, sebaliknya ikutlah budaya ikan bandar raya, walaupun kecil tapi segala lumut dan kekotoran boleh dibersihkan untuk kemenangan parti,” katanya.


Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri.


Yang turut hadir, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Sabri Alwi; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Jailani Johari.


Terdahulu, Ahmad Zahid turut melancarkan Jentera Rakyat Plus (JR Plus) bagi Bahagian Kuala Terengganu di samping menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di keempat-empat dewan undangan negeri (DUN) serta Parlimen.


Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan akan berusaha menyelesaikan masalah-masalah yang timbul di beberapa kerusi yang dikenal pasti di bahagian Kuala Terengganu bagi memastikan penyakit yang sedia ada itu tidak terus merebak dalam parti sekali gus mewujudkan suasana politik yang sihat serta stabil di Terengganu.


Katanya, walaupun Kuala Terengganu mempunyai sejarah ‘angin dan ombak politik’ yang pasang surut tetapi beliau yakin, UMNO dan BN tidak akan kecundang lagi dan mampu menebus kekalahan lalu dengan merampas kerusi DUN dan Parlimen.


“Ini adalah masa yang sesuai untuk UMNO dan BN memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,”ujar beliau.