Saturday, 10 June 2017

PM Ulas Isu FGV Esok


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak akan mengulas mengenai kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), esok. Perdana Menteri berkata, beliau akan memberi maklum balas mengenai isu yang membelenggu syarikat terbabit ketika melawat ke kawasan FELDA di Kulai, Johor.

"Saya akan komen (mengenai isu FGV) ketika saya melawat ke kawasan rancangan FELDA di Johor esok," katanya pada sidang media Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. 

Selasa lalu, Lembaga Pengarah FGV mengarahkan empat pegawai kanan agensi perladangan itu, termasuk Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad, bercuti berkuat kuasa serta merta. 

Arahan bercuti itu dikatakan bagi memberi laluan audit dalaman dijalankan bagi menyiasat tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV. Selain Zakaria, tiga lagi yang dipaksa cuti adalah Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha; Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.