Friday, 5 May 2017

Kestabilan Politik Antara Faktor Utama Pembangunan Negara


Assalamualaikum 
Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dan Salam 1Malaysia.
 
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
 
Kestabilan politik memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara. Antara faktor yang menentukan kestabilan politik adalah kerjasama antara parti politik dalam gabungan parti yang memerintah.
 
Melihat pada sejarah pakatan pembangkang, mereka tidak mampu bertahan lama.
 
Sejak tahun 1986, pembangkang sudah membentuk 9 pakatan seperti Barisan Alternatif yang ditubuhkan pada tahun 1998 tetapi dibubarkan pada tahun 2008. Kemudiannya Pakatan Rakyat yang hidup sejak 2008 hingga 2015. Pakatan-pakatan ini terpaksa dibubarkan selepas beberapa tahun.
 
Yang lucunya, pembangkang kini didatangi parti kecil baru yang ingin menukar nama Pakatan Harapan. Pakatan apa pula yang akan timbul nanti?
 
Konflik dalaman akan menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian pada rakyat. Kerajaan yang diperintah mereka ini berpecah belah dan boleh mengakibatkan ekonomi merudum.
 
Kepimpinan yang tidak sehaluan akan mendorong Kabinet bertukar dengan kerap. Kesannya, kelangsungan perkhidmatan asas yang disediakan kerajaan akan terhenti atau tergugat.
 
Manakala di Selangor pada masa ini, keadaan politik sebenarnya tidak stabil sekiranya PAS atau DAP menarik diri daripada kerajaan, kedudukan Menteri Besar dan kerajaan negeri sudah tentunya akan terjejas.
 
Bayangkan sekiranya perkara ini terjadi di peringkat persekutuan. Untuk memastikan ekonomi membangun dan kebajikan rakyat terpelihara, kerajaan perlu dipimpin oleh gabungan parti yang kukuh, berpengalaman dan sehaluan.
 
Sekian sahaja dari saya.
 
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 
Oleh : Najib Razak