Thursday, 25 May 2017

Kesetiaan Abdullah Terhadap Parti Dan Kerajaan Dihargai - Najib


PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menghargai kesetiaan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terus memberi sokongan padu dan berdiri teguh bersama kerajaan, parti UMNO serta Barisan Nasional. 

Perdana Menteri berkata, Tun Abdullah tidak pernah terlintas untuk mengkhianati parti dan negara tercinta, jauh sekali keluar dari parti UMNO yang dikasihi. "Beliau bukan sahaja memanggil saya sebagai 'my brother', bahkan Tun Abdullah adalah sahabat yang sebenar lagi sejati, kerana tetap setia bersama saya dan kerajaan sama ada ketika susah mahu pun senang, waima (bahkan) dalam situasi getir lagi bergelora. 

"Bahkan lebih menyentuh dan mengharukan saya, betapa tingginya nilai kasih sayang Tun Abdullah kepada parti dan negara, sanggup serah tampuk kepimpinan tertinggi UMNO dan jawatan Perdana Menteri kepada saya dengan penuh tertib dan kemuliaan tradisi parti," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini. Najib berkata, Tun Abdullah atau lebih senang dipanggil Pak Lah bukan sahaja secara peribadi rakan karib kepada keluarganya malah tersemat di hati sebagai seorang abang, teman rapat dalam susah dan senang serta antara insan yang berhati mulia. 

"Pada sisi lain saya amat menghormati Tun Abdullah sebagai seorang pemimpin yang cenderung mengangkat martabat Islam dan golongan agamawan, selain turut mengimbangkan ciri pembinaan tamadun negara selaras pemikiran beliau menerusi kerangka Manhaj Hadhari," katanya. Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan dana berjumlah RM5 juta kepada Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi. - BH