Barisan Nasional (BN) negeri Perak tidak pernah memandang remeh atau mengambil mudah tetapi memberikan perhatian serius ke atas mana-mana pilihan raya termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal berlangsung di Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun nanti.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata BN tidak boleh apla dan perlu mencipta strategi terbaik untuk memastikan kerusi Parlimen Kuala Kangsar kekal di pihak BN.
“Dalam setiap pilihan raya kita perlu memberi perhatian yang serius. Kita ada peluang jadi kita perlu menang.
“Kita akan memasuki medan perang. Kita perlu ambil segala aspek-aspek persiapan dan tidak boleh menggangap apa jua keadaan yang berlaku kepada pembangkang sebagai peluang,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis graduasi bersepadu GiatMara Perak di Gopeng, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata untuk memastikan BN menang pada PRK berkenaan, parti akan membuat beberapa penilaian terhadap sesebuah kawasan dan tidak hanya fokus kepada satu isu sahaja.
“Adalah menjadi kelaziman dalam mana-mana pilihan raya anda perlu beri perhatian terhadap setiap kawasan kerana tiap-tiap kawasan mempunyai masalah tersendiri yang perlu diselesaikan,” katanya.
Berkaitan pemilihan calon BN, Zambry berkata beberapa individu sudah dikenal pasti dan senarai nama telah diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk dibuat keputusan.
Berkaitan pemilihan calon BN, Zambry berkata beberapa individu sudah dikenal pasti dan senarai nama telah diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk dibuat keputusan.
PRK Kuala Kangsar perlu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas.
Turut terkorban dalam nahas itu Ahli Parlimen Sungai Besar, Selangor yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon.
Jumaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.
– PRU14.tv