Thursday 31 March 2016

Selepas Hantu, Anai-Anai Dan Musang Pula Di Persalahkan

images (6)

Isu yang membabitkan pembelian rumah banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang begitu hangat diperkatakan sehingga kini, sekali lagi memasuki pusingan seterusnya dan sekali lagi, Lim Guan Eng mempergunakan makhluk yang tidak boleh bercakap untuk dijadikan sasaran alasan menggila beliau.

Sebelum ini, baik Lim Guan Eng mahupun pemilik asal rumah berkenaan, Phang Li Koon, masing-masing mendakwa, rumah yang didiami oleh Lim Guan Eng itu sebenarnya berhantu dan sering dijadikan sasaran vandalisme seperti membaling bom molotov koktail dan sebagainya.

download (3)

Lebih menarik lagi, Teresa Kok pula muncul mempertahankan Guan Eng apabila mendakwa rumah berkenaan tidak begitu menarik dari segi Feng Shui. Oleh sebab itulah, kenapa rumah berkenaan dijual pada harga yang jauh lebih murah dari harga sebenar.
Terbaru, Guan Eng sekali lagi mengemukakan alasan kenapa beliau bertindak memilih untuk mendiami rumah banglo berkenaan, bukan kediaman rasmi Ketua Menteri yang telah disediakan. Beliau memberi alasan bahawa rumah rasmi berkenaan telah dimakan anai-anai, kehadiran ribuan semut dan musang yang sentiasa menceroboh kediaman berkenaan.
Beliau mendakwa, sementara menunggu pihak JKR menyelenggara semula rumah berkenaan, beliau memilih untuk membeli dan tinggal di rumah banglo berkenaan. Namun jika difikir secara logik, adakah pihak JKR perlu mengambil masa sehingga 2 tahun bagi membersihkan anai, menyelenggara semula pagar kediaman rasmi berkenaan dan mengawal pembiakan semut?

images (5)

Nampaknya, setelah menunding jari kepada manusia menemui kegagalan, Guan Eng kini bertindak menunding jari kepada makhluk yang tidak boleh bercakap seperti manusia. Mungkin selepas ini Guan Eng boleh bertindak menyaman anai-anai, semut, musang dan hantu di mahkamah, kerana makhluk inilah yang menyebabkan Guan Eng kini hidup dalam keadaan tidak tenteram.