Saturday 26 March 2016

Keselamatan Dan Kestabilan Politik 'Kembar' Tentukan Keamanan Negara - Najib




SIBU - Hal berkaitan keselamatan dan kestabilan politik merupakan 'adik beradik kembar' yang perlu sentiasa seiringan bagi memastikan keamanan negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata perdana menteri, walaupun tahap keselamatan dijaga dengan sebaiknya, negara akan menjadi huru-hara dan hancur tanpa adanya kestabilan politik.

"Kalau kita jaga bab keselamatan, bab-bab politik tak jaga negara ini hancur, tak stabil dan huru-hara. Tanpa kerajaan yang mempunyai visi dan pelan serta perancangan yang berkesan, negara kita akan rosak," katanya semasa lawatan ke Kem Oya di sini hari ini yang menempatkan 3 Rejimen Renjer Diraja.

Beliau berkata usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan anggota tentera di negara ini bukan sekadar ungkapan retorik politik semata-mata.

Sebaliknya, kata Najib, pelbagai dasar dan program dilaksanakan untuk tujuan itu kerana anggota-anggota tentera akan lebih bersemangat dalam mempertahankan negara ini sekiranya kebajikan mereka dan keluarga mereka dijaga.

"Ini bukan cakap-cakap politik. Ini telah kita laksanakan, kita telah buktikan dan kita akan terus tambahkan lagi untuk kebajikan anggota-anggota tentera," katanya.

Antara yang telah dilaksanakan untuk menjaga kebajikan anggota tentera adalah kenaikan pangkat secara 'time based' apabila mereka sekurang-kurangnya boleh sampai ke pangkat koperal sekiranya tiada masalah disiplin.

Bagi anggota yang menunjukkan kesungguhan dalam tanggungjawab masing-masing, mereka boleh mencapai ke tahap lebih tinggi seperti Sarjan ataupun Pegawai Waran.

Selepas majlis itu, Najib melancarkan perkhidmatan bas sekolah untuk 11,725 anak-anak anggota di 76 kem seluruh negara.

Perkhidmatan yang melibatkan sebanyak 176 bas itu merupakan satu lagi usaha kerajaan melalui Kementerian Pertahanan untuk menjaga kebajikan anggota tentera yang merupakan benteng pertahanan negara ini.

Najib meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk menambah baik Sekolah Kebangsaan Batu 15, yang menjadi tempat persekolahan anak-anak anggota tentera di Kem Oya.

Beliau turut melakukan tinjauan mesra ke gerai-gerai jualan dan pameran yang diadakan bersempena lawatannya ke kem itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, timbalannya Datuk Mohd Johari Baharom, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

- BERNAMA