Tuesday 8 March 2016

Kerajaan Ambil Langkah Intervensi Positif Urus Ekonomi Negara - Najib




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membeli barangan selepas melancarkan Kedai Harga Patut, di Pasaraya Sogo hari ini. Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri,Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin

Kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah intervensi positif dan berkesan dalam soal pengurusan ekonomi demi kesejahteraan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata kerajaan perlu mengurus tadbir ekonomi negara dari segi fiskal dan dasar monetari secara tepat, selain melaksanakan intervensi dan campur tangan secara positif.

"Ini supaya kita tidak terlepas tangan atau melepaskan tangan dan membenarkan falsafah 'laissez faire' jadi apa yang nak buat di pasaran, mereka ikut kehendak kita," katanya semasa melancarkan program Anugerah Kedai Harga Patut 2016 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)di kompleks membeli-belah SOGO di sini, hari ini.

Perdana menteri berkata langkah itu penting supaya rakyat tidak berterusan dieksploitasi oleh pasaran ekonomi.

"Kita tidak boleh membenarkan keadaan ini wujud walaupun kita faham kerajaan tidak boleh dan tidak patut melakukan segala-galanya tetapi kita mesti mengambil langkah intervensi secara positif supaya peranan pasaran ataupun kuasa pasaran tidak sampai ke peringkat pengguna dan orang ramai dieksploitasi,"katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap kehendak rakyat dan sentiasa berusaha memenuhi keperluan itu.

"Sebab itulah antara langkah yang saya amat minat adalah untuk memperluaskan rangkaian kedai harga patut di mana dalam ucapan pengubahsuaian bajet 2016, saya sarankan supaya jumlah kedai harga patut ditingkatkan daripada 640 kepada 1,000," katanya.

Beliau juga berkata KPDNKK berjaya melepasi sasaran itu dan mengiktiraf sebanyak 1,238 kedai harga patut di seluruh negara tahun ini, meliputi premis perniagaan seperti kedai runcit, pasar raya, kedai makan dan restoran, gerai makan, kedai alat tulis dan buku serta kedai pakaian.

"Saya sarankan satu logo baharu disediakan dan diletakkan di luar kedai harga patut supaya pengguna faham kalau mereka pilih masuk kedai ini, mereka boleh menerima barangan yang berkualiti dengan harga berpatutan,"katanya.

Selain itu perdana menteri berkata kerajaan akan meneruskan program kedai rakyat 1Malaysia, kedai kain 1Malaysia dan beberapa program lain bagi membantu pengguna mendapatkan harga barang yang lebih murah dan berkualiti.

Katanya program penurunan harga barang juga perlu terus dilaksanakan dan pada tahun lepas sebanyak 2,543 cawangan pasar raya besar dan pasar mini di seluruh negara mengambil bahagian dalam kempen itu.

Katanya dalam usaha membantu rakyat berdepan kos sara hidup yang tinggi, Kementerian Pertanian dan Industri Asas tani juga akan mewujudkan pasar harian di Putrajaya dengan menjual barang keperluan dan barangan mentah dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran.

"Percayalah kerajaan amat bersungguh-sungguh dalam hal ini tapi kerajaan tak boleh melakukan segala-galanya dan kita bergantung kepada pengguna. Kita nak pengguna bermaklumat, bijak dan tahu bahawa di tangan pengguna ada kuasa penentu.

"Jadi kalau pengguna dan kerajaan berganding bahu, kita dapat pastikan bahawa dalam negara kita ini kedai yang sediakan barang-barang yang diperlukan dapat disediakan berdasarkan kepada kualiti dan harga yang berpatutan," katanya.

Perdana menteri berkata operasi penguatkuasaan terhadap rantaian pengedaran barang akan diteruskan supaya tidak ada mana-mana pihak yang menaikkan harga sewenang-wenangnya.

"Seolah-olah apabila barang naik, kerajaan salah. Bila harga minyak naik kerajaan salah. Bila harga minyak turun, dia tak kata pulak kerajaan baik (harga barang diturunkan)," kata Najib.