Saturday 26 March 2016

Ehhheemm... Mahathir Yakin Pak Lah Boleh Jadi Penasihat Petronas Yang Baik

mahathir pak lah

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad yakin penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi mampu menjadi penasihat yang baik kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Bekas perdana menteri itu berkata Abdullah merupakan calon yang cukup layak untuk menjadi penasihat kepada syarikat gas dan minyak milik kerajaan itu.

“Dia cukup layak untuk jadi penasihat (dan) saya harap dia jadi penasihat British, bukan penasihat Melayu (sebab) penasihat Melayu kita bagi nasihat sahaja, tak payah turun.

“Kita sebelum ini pernah ada penasihat British. Bila dia (penasihat British) bagi nasihat, ia jadi satu arahan (tapi) penasihat Melayu, bagi nasihat orang lupa aja lah. katanya kepada media selepas Simposium Antarabangsa Kelab Menjenayahkan Peperangan (CWC) berjudul ‘Gabungan Generasi Baharu – Katakan Tidak Kepada Peperangan’, di sini hari ini.



Dr Mahathir berkata latar belakang Tun Abdullah yang pernah memegang tampuk ketua kerajaan adalah ciri yang dianggap sesuai untuk memegang jawatan penasihat tersebut.

“Tapi saya percaya Pak Lah akan memberi nasihat yang baik kepada Petronas (sebab) Perdana Menteri semua layak (untuk jawatan Penasihat Petronas)…termasuk saya pun,” katanya lagi.

Kabinet semalam bersetuju dengan pelantikan Abdullah sebagai Penasihat Petronas, berkuat kuasa 1 April ini menggantikan Dr Mahathir yang ditamatkan perkhidmatan sebagai Penasihat Petronas pada 11 Mac lepas.

Simposium tersebut diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini sempena ulang tahun ke-70 memperingati peristiwa pengeboman bom atom di Hiroshima dan Nagasaki di Jepun pada 1945.

“Kami tidak mahu sebarang peperangan nuklear dan tidak mahu insiden seperti ini berlaku semula…sebab itu kita nyatakan peperangan adalah satu jenayah,” kata Dr Mahathir.