“Keputusan yang dibuat ini bersandarkan kepada keinginan untuk kita bergerak ke depan. Saya harap kita bergerak bersandarkan kepada kerjasama sebagai satu pasukan,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
MT UMNO hari ini membuat keputusan menggantung jawatan Muhyiddin berkuat kuasa serta-merta sehingga pemilihan parti akan datang. Berikutan itu, MT melantik Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menjalankan tanggungjawab dan tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden.
Menurut Hishammuddin, ahli UMNO perlu bergerak ke depan sebagai satu pasukan untuk berdepan dengan rakyat tanpa ada sebarang pertikaian daripada mana mana pihak.
“Keputusan yang dibuat secara konsensus ini dapat membantu kita sebagai satu pasukan tanpa sesama kita mempertikaikan gerakan-gerakan kita,”jelasnya.
Dalam pada itu, Ahli MT UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, keputusan itu merupakan yang terbaik untuk UMNO memperkasakan parti.
“Hari ini adalah hari terbaik bagi UMNO sebab kita ada dua tahun lagi untuk bekerja kuat untuk memperkasa parti,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli MT UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, ahli-ahli UMNO diharap akan menerima keputusan tersebut kerana keputusan itu akan menyatukan ahli menjelang pilihan raya umum akan datang.
Di Johor Bahru, UMNO di semua peringkat cawangan dan bahagian di negeri ini diminta bertenang dan tidak mencetuskan provokasi atau sebarang tindakan melulu berikutan penggantungan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO yang berkuat kuasa hari ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mereka perlu menerima keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi itu dengan hati terbuka demi untuk kepentingan dan kelangsungan parti.
“Saya percaya walau apapun keputusan yang dibuat akan ada pihak suka dan tidak suka tetapi hakikatnya kita bergerak dalam sebuah parti dan keputusan tersebut pula dibuat pihak Majlis Tertinggi secara bersama.
“Saya percaya kita perlu akur walaupun ada yang gembira, suka dan tidak suka,” katanya ditemui selepas merasmikan Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang ke-21 di Bukit Layang-layang, Pasir Gudang, di sini malam ini.
Beliau yang juga Menteri Besar mengulas penggantungan tersebut selepas diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini dan tempatnya dipangku Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO.
Ditanya kesan keputusan tersebut terhadap UMNO Johor, Mohamed Khaled berkata, semua pihak ketika ini perlu meneruskan dan menumpukan agenda utama badan perhubungan iaitu perpaduan dalam parti.
Beliau yang juga Ahli MT tetapi tidak menghadiri mesyuarat tersebut berkata, UMNO negeri ini perlu faham kerana jawatan Timbalan Presiden dipilih perwakilan dari seluruh negara dan bukan negeri ini sahaja. - UTUSAN