Friday 26 February 2016

Sektor Pelancongan Antara Fokus Kerajaan Kembangkan Ekonomi Tahun Ini - Najib


KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kerajaan akan mengembangkan sektor pelancongan negara dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan negara tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini selaras komitmen kerajaan untuk memberi tumpuan yang lebih kepada ekonomi bagi memastikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai unjuran 4.0 hingga 4.5 peratus pada tahun ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia perlu mencari sumber pendapatan lain bagi menampung kekurangan lebih daripada RM30 bilion pendapatan daripada hasil minyak berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

"Jika kita tidak mencari sumber pendapatan lain bagi menampung kekurangan pendapatan daripada hasil minyak, maka kesannya kepada rakyat adalah amat buruk," katanya dalam entri terbaharu blog beliau www.najibrazak.com, hari ini.

Najib berkata sebagai negara yang terkenal dalam sektor ekopelancongan, Malaysia mempunyai kelebihan kerana mempunyai pantai yang terindah di dunia, serta hutan hujan tropika yang kaya dengan spesies tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang unik.

Kerajaan juga sedang melancarkan promosi pakej percutian ke Malaysia dengan lebih giat di luar negara, kata perdana menteri.

"Dengan penurunan nilai mata wang ringgit, kos percutian di Malaysia menjadi lebih murah untuk pelancong asing.

"Ini membuka peluang perniagaan yang lebih besar buat kita. Apabila warga asing berbelanja di negara ini, ia merupakan satu bentuk pendapatan untuk ekonomi kita. Insya-Allah sektor pelancongan akan terus kita kembangkan sekaligus memangkin pertumbuhan ekonomi negara di waktu ekonomi dunia yang tidak menentu ini," katanya.

-- BERNAMA