Thursday 25 February 2016

Program TUBE Berjaya Tingkatkan Ekonomi Belia Bumiputera - Najib


KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) telah berjaya meningkatkan ekonomi belia Bumiputera.


Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersalaman dengan sebahagian daripada kira-kira 1,000 peserta dalam Majlis Apresiasi TUBE di Menara MITI di sini, Rabu

Gembira dengan kejayaan itu, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata melalui program itu, ekonomi belia daripada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) berjaya ditingkatkan sehingga ada yang menjadi usahawan berpendapatan tinggi.

"Apa yang saya dengar, program ini memang tepat sekali diadakan kerana ia membawa sinar cahaya pengharapan baharu untuk melakukan perubahan besar kepada golongan belia. TUBE telah mentransformasi kumpulan ini sehingga menjana pendapatan yang lumayan... Insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi 'Cetusan Minda' Perdana Menteri bersama kira-kira 1,000 peserta dalam Majlis Apresiasi TUBE di Menara Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini, Rabu.

Program TUBE dilaksanakan oleh SME Corp Malaysia dan dilancarkan Najib pada 29 Mac 2014 telah berjaya memberi impak positif, dengan 99 peratus daripada 448 peserta yang menyertai TUBE 1.0 telah memulakan perniagaan dengan nilai jualan tahunan terkumpul pada 2015 mencecah RM17.8 juta.

Usahawan TUBE sehingga kini berjaya mewujudkan 848 peluang pekerjaan manakala program TUBE 2.0 yang bermula November lepas disertai oleh 495 belia.

Terdahulu, Najib meluangkan masa mendengar 'Suara Hati Peserta TUBE' yang menyaksikan tiga peserta menceritakan pengalaman dan kejayaan sebelum serta selepas mengikuti program berkenaan.

Menurut Najib, beliau kagum apabila ada antara peserta yang sebelum ini hanya seorang 'mat rempit' yang kelam masa depan bertukar menjadi usahawan berpotensi tinggi.

"TUBE mesti bermula dengan keinsafan dalam diri, kalau dapat sesuatu dengan mudah mungkin ia tidak akan dihargai, sebab itu peserta TUBE perlu menyertai 'bootcamp' selama seminggu dan bengkel selama dua minggu sebelum diberi geran sebanyak RM15,000.

"Tapi ingat ini semua tak mungkin jadi kenyataan tanpa sumbangan daripada kerajaan," kata Najib, yang turut memberi jaminan akan menambah peruntukan untuk progam berkenaan, sekiranya keadaan ekonomi negara pulih.

Pada majlis sama, Najib turut menyampaikan anugerah peserta terbaik program TUBE 1.0 kepada Charlonitta Richard, 24, dari Sabah yang menjalankan perkhidmatan kawalan serangga dan anai-anai dengan nilai jualan mencecah RM150,000 pada 2015.

Anugerah rancangan perniagaan terbaik diraih Mohd Zairul Irsyad Zainal, 22, peserta TUBE 2.0 dari Pahang yang menjalankan perkhidmatan spa perubatan Islam khusus untuk lelaki dan berjaya memperoleh pendapatan bulanan berjumlah RM11,000.

Terdahulu, Najib pada majlis berasingan merasmikan Menara MITI di sini dan meluangkan masa meninjau sekitar menara setinggi 31 tingkat di atas tapak seluas 2.9 hektar yang menelan kos sebanyak RM342 juta.

Pada majlis sama, Najib turut menyampaikan anugerah peserta terbaik program TUBE 1.0 kepada Charlonitta Richard, 24, dari Sabah yang menjalankan perkhidmatan kawalan serangga dan anai-anai dengan nilai jualan mencecah RM150,000 pada 2015.

Anugerah rancangan perniagaan terbaik diraih Mohd Zairul Irsyad Zainal, 22, peserta TUBE 2.0 dari Pahang yang menjalankan perkhidmatan spa perubatan Islam khusus untuk lelaki dan berjaya memperoleh pendapatan bulanan berjumlah RM11,000.

Terdahulu, Najib pada majlis berasingan merasmikan Menara MITI di sini dan meluangkan masa meninjau sekitar menara setinggi 31 tingkat di atas tapak seluas 2.9 hektar yang menelan kos sebanyak RM342 juta.

Sementara itu Mohd Zairul, 22, lulusan Sarjana Muda Sains Islam Perubatan Alternatif dari Universiti Al Azhar, Kaherah, Mesir memberitahu Bernama, program itu telah membuka mindanya mengenai selok belok perniagaan.

"Tanpa bimbingan pegawai dari SME Corp.Malaysia menerusi program TUBE, mungkin sukar untuk saya memulakan perniagaan sendiri walaupun saya ada sijil dan kemahiran," kata anak kelahiran Pahang ini, yang memulakan perniagaanya sebaik selesai menjalani program TUBE selama tiga minggu sejak November lalu.

Beliau berkata SPA miliknya di Kuantan itu menyediakan perkhidmatan seperti bekam, mandi ais, urutan, rawatan cucian muka hanya untuk lelaki, dan merancang membuka cawangan di Perak.

Sementara itu, peserta Terbaik TUBE 1.0.Charlonitta Richard, 24, dari Sabah yang membuka perniagaan kawalan serangga dan anai-anai kini mempunyai dua cawangan di Sabah dan bercadang membuka satu lagi cawangan di Labuan tahun ini.

Perniagaannya yang dibantu oleh lima pekerja pada tahun lalu mencatat nilai jualan berjumlah RM150,000, dan kini pendapatan bulanan perniagaannya mencecah RM12,000 sebulan.

"Nasihat saya kepada belia-belia yang ingin menjadi usahawan, kita mesti berani mencuba, dan jangan sesekali berputus asa," katanya.

-- BERNAMA