Thursday 18 February 2016

PERANGI IDEOLOGI SALAH

SUNNYLANDS (California) 17 Feb. - Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) berakhir hari ini dengan penegasan Malaysia bahawa usaha membanteras keganasan yang menjadi tumpuan agenda pertemuan, hanya akan berjaya jika dapat memenangi peperangan melawan ideologi Islam yang tidak menepati prinsip sebenar Islam.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang pada sesi terakhirnya membincangkan tema Mempertahankan Keamanan, Kestabilan dan Kesejahteraan Asia Pasifik.

Najib yang mencelah dalam sesi akhir perbincangan Presiden Barack Obama dengan para pemimpin tertinggi ASEAN itu menegaskan, usaha membanteras ancaman keganasan tidak hanya melalui ketenteraan dan penguatkuasaan tetapi turut memenangi peperangan ideologi.

"Untuk itu, Malaysia dipilih menjadi pusat counter-messaging bagi membetulkan fahaman terhadap apa juga mesej yang dibawa oleh kumpulan yang menggelar diri mereka IS serta pada masa sama memaparkan Islam sebenar," katanya kepada wartawan Malaysia.

Perdana Menteri yang menyifatkan sidang ulung ASEAN-AS itu sebagai berjaya, produktif dan signifikan menambah, selaras dengan usaha itu beliau akan membentangkan laporan indeks syariah bagi mengukur pelaksanaan agenda Islam dan pengisian memartabatkan Islam di Malaysia pada akhir Mac ini.

"Tujuan akhirnya untuk mentakrifkan apa itu negara Islam. Inilah sumbangan Malaysia untuk memenangi hati dan fikiran rakyat supaya tidak tertarik kepada mereka yang terima bulat-bulat dan menjadi perekrut serta pengikut fahaman IS," jelasnya.

Dalam sesi itu, Najib berkata, beliau turut menekankan pentingnya kesederhanaan atau wasatiyyah yang merupakan senjata berkesan dan perlu untuk dikembangkan bagi menangani keganasan dan ektremisme.

Mengenai perubahan iklim katanya, Malaysia mahu negara maju melaksanakan komitmen mereka terutama dari segi menyediakan sumbangan dan pembiayaan dana hijau secukupnya kepada negara-negara sedang membangun.

Beliau menambah, dalam isu pemerdagangan manusia pula yang disifatkan sebagai perhambaan zaman moden, ASEAN telah mengambil langkah-langkah perundangan dan penguatkuasaan tertentu.

"Sebagai satu penegasan saya telah menyatakan supaya ini perlu diselesaikan di peringkat sumbernya. Saya menyatakan Malaysia telah menerima 60,000 pelarian," katanya.

Dalam sesi itu juga jelas Najib, Malaysia telah memberi peringatan tentang ancaman berpunca daripada Filipina belum berakhir dengan Sabah terutamanya masih terdedah ancaman kumpulan seperti Abu Sayyaf dan tentera Sulu.

"Malaysia menyatakan rundingan untuk memuktamadkan undang-undang asas Bangsamoro belum diluluskan oleh Kongres Filipina. Ini satu lagi halangan kepada keamanan di selatan Filipina," jelas Perdana Menteri.

Sementara itu, kata Najib, pada sesi penggulungan sebelum kenyataan bersama dikeluarkan, Presiden Barack Obama turut mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas peranannya sebagai negara penyelaras hubungan ASEAN-AS yang membawa kepada kejayaan sidang kemuncak itu.

Esok, lawatan Perdana Menteri akan diteruskan dengan bertemu pengurus dana, makan tengah hari bersama kapten industri, melawat Apple dan Tesla Motors di San Francisco. – UTUSAN